Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

17 April 2014

Pelaburan Khazanah di Turki mengukuhkan perdagangan dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki

Pencapaian Utama:

  • Kos pelaburan awal berjumlah USD1.4 bilion di Turki kini bernilai kira-kira USD2.0 bilion dalam pasaran semasa

  • USD300 juta telah diikrarkan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”) untuk meningkatkan pegangannya dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul (“ISGIA”) daripada 20% kepada 60%

  • Pejabat Serantau Khazanah Turki berfungsi sebagai platform strategik untuk mengembang dan mengukuhkan pelaburan serantau Khazanah, hubungan awam & swasta dan hubungan perniagaan di Turki, Timur Tengah, Afrika , Asia Tengah dan Eropah Timur

Sempena lawatan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak ke Ankara, Turki pada 17 April 2014, berikut adalah maklumat terkini oleh Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) sebagai rujukan pihak media Malaysia dan antarabangsa:

1. Pejabat Serantau Khazanah Turki (“KTRO”)

Pada 31 Oktober 2013, Khazanah telah membuka pejabat serantaunya di Istanbul yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan. Ini adalah pejabat satelit keempat Khazanah selepas pejabat-pejabat di Beijing, Mumbai dan San Francisco.

Sebagai hab serantau, KTRO akan menjadi pelaksana serta perantara pelaburan di Turki, Timur Tengah, Afrika, Asia Tengah dan Eropah Timur yang mempunyai kepentingan strategik kepada Khazanah, syarikat-syarikat pelaburannya serta Malaysia secara amnya. Kehadiran Khazanah di Turki juga akan menjadi platform untuk meningkatkan dan mengukuhkan pelaburan serantau, hubungan awam dan swasta serta hubungan perniagaan di kawasan-kawasan tersebut. Selain itu, pejabat ini juga akan menggalakkan pelaburan ke Malaysia, seperti ke Iskandar Malaysia dan menjadi pemudah bagi pelaburan bersama merentasi sempadan ke dalam pasaran ASEAN yang kian berkembang pesat.

Pada Oktober 2013, Khazanah, yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar, turut mengambil bahagian dalam mesyuarat Majlis Penasihat Antarabangsa VIII Turki yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Mesyuarat tersebut merupakan platform penting bagi dialog dan perundingan peringkat tertinggi antara pemimpin-pemimpin kerajaan dan eksekutif kanan syarikat-syarikat multinasional terkemuka bagi menyediakan perspektif antarabangsa kepada agenda pembaharuan iklim pelaburan di Turki.

2. Pelaburan Khazanah di Turki

Setakat ini, Khazanah dan beberapa syarikat pelaburannya telah melaksanakan pelaburan awal berjumlah USD1.4 bilion di Turki. Nilai pasaran pelaburan-pelaburan ini dianggarkan kira-kira USD2.0 bilion. Pelaburan-pelaburan yang dibuat sejak 2008 adalah seperti berikut:

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (“ISGIA”)

    • Pada Mei 2008, MAHB (36.56% milik Khazanah) telah melabur USD48 juta untuk 20% pegangan dalam ISGIA, lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul. MAHB berperanan sebagai pengendali teknikal di ISGIA, bersama rakan kongsi tempatan, Limak Group dan rakan kongsi antarabangsa, GMR Group daripada India.

      ISGIA merupakan antara lapangan terbang yang paling pesat berkembang di dunia. ISGIA telah mencatatkan jumlah penumpang seramai 18.8 juta pada 2013 berbanding 4.3 juta penumpang pada 2008, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (“CAGR”) sebanyak 34%. Pelaburan dalam ISGIA membuktikan keupayaan MAHB dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan lapangan terbang.

      Pada Disember 2013, MAHB telah memulakan proses pengambilalihan 40% kepentingan dalam ISGIA yang dipegang oleh GMR Group bernilai kira-kira USD300 juta. Transaksi tersebut kini menunggu kelulusan pihak pengawal selia. Apabila selesai kelak, pegangan saham MAHB dalam ISGIA akan meningkat kepada 60%.

  • Acıbadem Healthcare Group (“Acıbadem”)

    • Pada Januari 2012, Khazanah bersama IHH Healthcare Berhad (“IHH”), sebuah syarikat pelaburan 45.2% milik Khazanah telah menguasai 75% kepentingan dalam Acibadem, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terbesar di Turki dengan pelaburan permulaan berjumlah USD1.1 bilion. Acibadem kini memiliki dan mengendalikan lebih 2,000 katil di 17 buah hospital (15 hospital di Turki dan sebuah hospital di Macedonia yang dimiliki dan dikendalikan, sementara satu hospital di Iraq yang dikendalikan). Selain itu, Acibadem memiliki dan mengendalikan 14 pusat perubatan berlesen dan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan yang menyediakan perkhidmatan klinikal makmal, perkhidmatan kesihatan mudah alih, katering dan perkhidmatan dobi serta reka bentuk hospital dan pengurusan projek.

      Pada 2013, Acibadem menyumbang kira-kira 28% kepada Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (“EBITDA”) IHH, pengendali penjagaan kesihatan tersenarai kedua terbesar di dunia dengan permodalan pasaran kira-kira USD10.0 bilion.

  • Acibadem Saglik ve Hayat Sigorta A.Ş (“Acibadem Sigorta”)

    • Pada November 2013, Khazanah, melalui syarikat pegangan pelaburan insuransnya, Avicennia Capital Sdn Bhd (“Avicennia Capital”) telah mengambil alih 90% kepentingan dalam syarikat penyedia perkhidmatan insurans kesihatan kedua terbesar di Turki, Acibadem Sigorta dengan pelaburan berjumlah USD252 juta.

      Beribu pejabat di Istanbul, syarikat tersebut turut menjalankan operasi di enam buah pejabat serantau di seluruh Turki. Produk insurans kesihatan premium yang disediakan oleh Acibadem Sigorta menawarkan kepada para pelanggannya akses kepada rangkaian kemudahan penjagaan kesihatan yang luas dan berkualiti tinggi di Turki.

      Pembelian Acibadem Sigorta melengkapkan pemerolehan Sun Life Malaysia Assurance Berhad dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad (dahulunya dikenali sebagai CIMB Aviva Assurance Berhad dan CIMB Aviva Takaful Berhad) pada April 2013, sekali gus mengukuhkan lagi platform insurans yang sedang dibangunkan oleh Avicennia Capital.

Khazanah ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Turki dan rakan kongsi tempatan kami atas sokongan mereka dalam memastikan kejayaan berterusan pelbagai pelaburan Khazanah di Turki. Kami berharap kerjasama yang kukuh ini akan menjadi platform strategik untuk memupuk hubungan yang lebih mendalam antara Malaysia dan Turki.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya