Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

13 November 2013

Syarikat milik Khazanah, Avicennia Capital muktamadkan pembelian Acibadem Sigorta

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa syarikat pegangan insuransnya, Avicennia Capital Sdn Bhd (“Avicennia Capital”), telah berjaya memuktamadkan pembelian 90% kepentingan dalam Acibadem Saglik ve Hayat Sigorta A.Ş (“Acibadem Sigorta”) – salah sebuah syarikat insurans kesihatan dan nyawa terkemuka di Turki – pada harga pertimbangan pembelian USD252 juta.

Avicennia Capital, melalui syarikat tujuan khas Burau Ventures Sdn Bhd, telah menguasai secara keseluruhannya 90% kepentingan dalam syarikat tersebut daripada Encik Mehmet Ali Aydinlar (“Encik Aydinlar”) dan keluarga beliau serta The Abraaj Group. Encik Aydinlar akan kekal memegang 10% kepentingan dalam Acibadem Sigorta.

Acibadem Sigorta adalah syarikat pembekal perkhidmatan insurans bagi pelanggan korporat dan individu yang terkemuka di Turki dan merupakan syarikat kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam industri insurans kesihatan. Beribu pejabat di Istanbul, syarikat tersebut turut menjalankan operasi di enam buah pejabat serantau di seluruh Turki. Produk insurans kesihatan premium yang disediakan oleh Acibadem Sigorta menawarkan kepada para pelanggannya akses kepada rangkaian kemudahan penjagaan kesihatan yang luas dan berkualiti tinggi di Turki.

Pembelian Acibadem Sigorta melengkapkan pemerolehan Sun Life Malaysia Assurance Berhad dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad (dahulunya dikenali sebagai CIMB Aviva Assurance Berhad dan CIMB Aviva Takaful Berhad) pada April 2013, sekali gus mengukuhkan lagi platform insurans yang sedang dibangunkan oleh Avicennia Capital.

Selain Avicennia Capital, satu lagi aset insurans milik Khazanah adalah ACR Capital Holdings Pte Ltd (“ACR”) yang memiliki kepakaran dalam penyediaan penyelesaian insurans semula konvensional dan takaful semula bagi perlindungan yang berisiko besar dan kompleks.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar berkata: “Kami amat gembira dengan kejayaan memuktamadkan pembelian ini oleh sebab ia merupakan komponen yang penting dalam platform insurans Khazanah yang tertumpu pada pasaran yang mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh. Kami turut gembira kerana kejayaan ini seiring dengan pembukaan rasmi Pejabat Serantau Khazanah Turki pada penghujung Oktober 2013.”

Kejayaan memuktamadkan pembelian tersebut adalah setelah syarat-syarat prajadi yang telah ditetapkan berjaya dipenuhi, lanjutan daripada pemeteraian perjanjian pada 26 Julai 2013 serta kelulusan yang telah diperoleh daripada pihak pengawal selia di Malaysia dan Turki.

Bank of America Merrill Lynch dan CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat kewangan untuk Avicennia Capital dan Khazanah bagi pembelian ini.

Tamat

Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Asuki Abas di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, prasarana, riadah & pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan serta teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd., Tenaga Nasional Bhd., CIMB Group, Axiata Group Bhd., IHH Healthcare Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya