Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

18 Mei 2015

Khazanah bakal terbit sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab berdenominasi Ringgit pertama

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) menerusi sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Malaysia, Ihsan Sukuk Bhd (“Ihsan”), bakal menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab berdenominasi ringgit pertamanya (“Sukuk SRI”). Sukuk SRI ini telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini.

Sukuk SRI tersebut, yang mana penerbitannya telah dimandatkan oleh Lembaga Pengarah Khazanah, akan diterbitkan bawah Program Sukuk RM1.0bn Ihsan, program pertama seumpamanya yang diluluskan bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Program Sukuk tersebut telah diberi penarafan awal AAA oleh RAM Rating Services Berhad,, sekali gus memberi pengiktirafan kepada Khazanah sebagai penanggung kewajipan kredit bawah struktur Sukuk SRI ini.

Hasil penerbitan sulung sukuk tersebut akan disalurkan kepada Yayasan AMIR (“YA”), sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, YA telah ditubuhkan oleh Khazanah pada tahun 2010, bagi membolehkan yayasan tersebut menguruskan aliran tunainya bagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah untuk sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti pada tahun 2015.

YA memberi tumpuan kepada peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah-sekolah kerajaan menerusi Program Sekolah Amanah, suatu Perkongsian Awam-Swasta dengan Kementerian Pelajaran. Pada akhir tahun 2014, Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR mempunyai 30 buah sekolah di Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, yang memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pelajar di seluruh negara.

“Sukuk ini menyediakan kaedah pendanaan bagi tujuan pendidikan serta penunaian tanggungjawab korporat di negara ini,” kata Tan Sri Haji Muhyiddin, yang menyambut baik usaha Khazanah dalam memperkenalkan program pembiayaan inovatif ini.

Beliau turut menyeru syarikat serta institusi tempatan untuk menyokong penerbitan sukuk ini yang akan membolehkan pelancaran 20 buah sekolah amanah baru tahun ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, Sukuk SRI ini memberi peluang kepada sektor swasta untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Kami turut berharap sukuk ini akan menjadi pencetus kepada penerbitan instrumen-instrumen hutang pelbagai dimensi serta kaedah inovatif bagi pembiayaan sosial di pasaran pada masa hadapan,” katanya.

Kesan sosial bagi sukuk yang distruktur berdasarkan konsep “Bayar untuk Kejayaan” ini diukur dengan menggunakan Petunjuk Prestasi Utama (“KPI”) yang telah tetapkan terlebih dahulu, dan akan dinilai dalam tempoh masa 5 tahun.

Sekiranya sasaran KPI yang ditetapkan berjaya dicapai pada tarikh matang, pelabur sukuk akan melupuskan sebahagian jumlah nominal yang telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka dalam mengiktiraf kesan sosial yang positif yang dihasilkan oleh Program Sekolah Amanah. Sebaliknya, jika sasaran KPI yang ditetapkan gagal dicapai, pemegang sukuk layak menerima jumlah nominal dibayar bawah sukuk ini sepenuhnya.

Sukuk yang distrukturkan bawah prinsip Wakalah Bi Al-Istithmar ini sekali gus membuktikan usaha berterusan Khazanah dalam memperkenalkan instrument kewangan Islam yang inovatif dan berdaya maju.

CIMB Investment Bank Berhad (“CIMB”) bertindak sebagai pengatur tunggal sementara Amanie Advisors Sdn Bhd dan CIMB Islamic Bank Berhad merupakan penasihat syariah bersama untuk Program Sukuk RM1.0bn ini.

Tamat

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 0000 atau menerusi e-mel di [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd. Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila lawati www.khazanah.com.my

Tentang Yayasan AMIR

Yayasan AMIR adalah sebuah yayasan yang bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh Khazanah pada tahun 2010. Aktiviti terasnya bersekitar bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai menyahut seruan Kerajaan untuk memperkenalkan kerjasama perkongsian awam-swasta yang lebih bermakna dalam sektor pendidikan bagi menangani kualiti pendidikan di sekolah-sekolah Kerajaan melalui Program sekolah Amanah. Sekolah Amanah adalah sekolah-sekolah kerajaan yang diurus bersama oleh Yayasan AMIR dan pengetua sekolah, bawah naungan Kementerian Pelajaran. Pelaksanaan Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR adalah selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berkembang dan menjadi rakyat Malaysia yang berilmu dan yang berfikiran secara kritis dan kreatif, dan dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.yayasanamir.org.my



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya