Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

14 April 2014

Khazanah terbitkan Laporan Tanggungjawab Korporat (“CR”) 2013, sambut ulang tahun ke-20

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini telah menerbitkan Laporan Tanggungjawab Korporat (“CR”) 2013 bagi menandakan ulang tahun penubuhannya ke -20 serta memperbaharui komitmennya kepada Rakan Organisasi Masyarakat Madani (“CSPO”) bagi 2014.

Khazanah turut mengulangi ikrarnya untuk memperdalam serta memperluaskan lagi inisiatif CR yang dijalankannya menerusi Yayasan Hasanah yang baru ditubuhkan.

Yayasan Hasanah merupakan suatu pendekatan strategik yang diambil oleh Khazanah bagi menyokong dan memperkasakan masyarakat, menggalakkan keterangkuman sosial dan meningkatkan kualiti alam sekitar. Penubuhan Yayasan Hasanah dianggap penting ketika Khazanah meraikan tahun ke-20 ia beroperasi serta hampir melengkapkan 10 tahun inisiatif transformasinya yang bertujuan meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan penubuhannya, Khazanah akan menumpukan usaha kepada penjanaan nilai dan pertumbuhan selain meningkatkan daya kompetitif negara, sementara tumpuan Yayasan Hasanah pula adalah memperkukuhkan modal sosial dan modal insan selain menangani isu-isu utama yang dihadapi negara.

Ketika melancarkan Laporan CR 2013, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar berkata: “Tahun ini amat bermakna buat kami ketika Khazanah menyambut ulang tahunnya ke-20 serta sedekad perjalanan transformasinya. Kami sedar akan kepentingan pembangunan keupayaan, penginstitusian serta penciptaan nilai dalam semua bidang, selain menyokong agenda pembangunan nasional yang lebih meluas.”

“Ini selari dengan wawasan Khazanah untuk mencipta dan menjana pulangan strategik, dan bukan sekadar keuntungan kewangan,” kata beliau.

Yayasan Hasanah akan menyatu tetapi pada masa yang sama memperluaskan lagi usaha CR Khazanah yang sedia ada, khususnya dalam lima bidang utama iaitu Pendidikan; Masyarakat; Alam Sekitar; Kesenian, Warisan & Kebudayaan; serta Ilmu Pengetahuan.

Yayasan Hasanah akan memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama dengan rakan organisasi tempatan kerana Khazanah percaya kepada kepentingan untuk memperkukuhkan kapasiti tempatan serta pemilikan komuniti bagi memastikan kelestarian usaha-usaha yang dijalankan. Yayasan Hasanah bakal memainkan peranan sebagai pemboleh dan pemangkin serta akan berusaha untuk menyokongdan mengukuhkan keupayaan rakan-rakan kongsinya dalam pada ia mengguna pakai rangka kerja dan disiplin pelaksanaan yang diamalkan oleh Khazanah.

Selain itu, Yayasan Hasanah juga berhasrat untuk mempamerkan serta mengukur impak sosial dan alam sekitar ke atas aktiviti-aktiviti yang dijalankannya, yang kebanyakkannya tertumpu kepada bantuan bagi golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat. Khazanah akan turut mewujudkan satu dana endowmen bagi Yayasan Hasanah untuk memastikan kemampanan operasinya pada masa depan.

Laporan CR 2013, laporan yang kelima sejak 2009, mengetengahkan pelbagai inisiatif CR yang telah diambil oleh Khazanah serta rakan organisasinya pada 2013. Khazanah telah membelanjakan RM80.5 juta untuk pelbagai inisiatif CR tahun lalu, sama ada dengan melaksanakan program secara sendirian atau melalui rakan organisasi yang ditaja, berbanding RM62.4 juta yang dibelanjakan pada 2012.

Peningkatan pada jumlah perbelanjaan tahun lalu adalah berikutan penubuhan Dana Bantuan Penjagaan Kesihatan, sebuah dana yang diwujudkan oleh IHH Healthcare Berhad (“IHH”), syarikat yang dikuasai Khazanah. Sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan semasa IHH disenaraikan pada 2012. Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM16 juta telah diperuntukkan pada 2013.

Selain itu, Khazanah turut memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan membantu mangsa banjir dan persiapan menghadapi bencana pada 2013. Sejak 2006, Khazanah telah melabur sejumlah RM335 juta bagi pelbagai inisiatif CR.

Salah satu inisiatif utama pada tahun ini adalah penerusan usaha membina keupayaan CSPO kami. Melalui Program Geran CR, kesemua CSPO ini dijangka akan dapat memperluaskan lagi impak usaha-usaha yang dijalankan oleh mereka melalui pengukuhan penyampaian perkhidmatan, tadbir urus dan kemampanan kewangan masing-masing. Program Geran CR akan dilaksanakan dalam dua kitaran setiap tahun. Bagi tahun ini, Yayasan Hasanah telahpun memilih para penerima geran bagi Kitaran Pertama 2014.

CSPO sedia ada yang terpilih di bawah Kitaran Pertama 2014 adalah Yayasan OrphanCARE, MERCY Malaysia, Persatuan Pengasih Malaysia, Voice of the Children, Yayasan Chow Kit, Yayasan Johan Cruyff, Teach for Malaysia, Yayasan Enactus Malaysia, Reef Check Malaysia dan EcoKnights, sementara CSPO penerima baru pula adalah TECH Outreach Malaysia.

Selain itu, Program Geran Kecil telah diperkenalkan pada tahun ini dengan dua rakan organisasi, EduNation dan TReeS, bakal menerima geran kecil daripada Yayasan Hasanah. Organisasi dan institusi masyarakat madani yang berminat untuk bekerjasama dengan Yayasan Hasanah dijemput untuk memohon kepada Khazanah melalui e-mel di [email protected].

Di majlis yang sama, Khazanah turut menyampaikan surat tawaran penajaan kepada Abdul Razak Ahmad Idris, penolong pengarang berita, The Star dan Cindy Yeap, penolong pengarang, The Edge, yang telah dipilih untuk menjalani program Khazanah-Wolfson Press Fellowship bermula April 2014. Program penajaan tersebut telah dimulakan pada tahun lepas secara usahasama dengan Kolej Wolfson, Universtiti Cambridge, bagi memberi sumbangan positif kepada pembangunan bidang kewartawanan di Malaysia.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 September 2021

Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham ...

Selanjutnya