Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 September 2014

Khazanah terbit sukuk boleh tukar Mudarabah-Murabahah USD500 juta dinilai pada hasil negatif

  • Sukuk Boleh Tukar bertempoh tujuh tahun, dengan hak menjual (put) pada tahun keempat, yang dinilai pada hasil negatif pertama

  • Sukuk Boleh Tukar pertama yang distruktur berdasarkan prinsip Mudarabah dan Murabahah

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini berjaya menetapkan harga sukuk boleh tukar penanda aras USD500 juta (RM1.59 bilion) yang bakal diterbitkan menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bebas diperbadankan di Labuan, Cahaya Capital Ltd. Sukuk tersebut boleh ditukar kepada saham biasa Tenaga Nasional Berhad (“TNB”), syarikat penjanaan tenaga elektrik terbesar di Malaysia.

Sukuk boleh tukar tersebut diterbitkan menerusi proses binaan bida yang dipercepatkan pada harga rujukan -0.05 peratus pulangan selepas matang dengan premium pertukaran 15 peratus. Urus niaga tersebut telah menjana permintaan 1.6x saiz buku. Sejak penerbitan sukuk boleh tukar pertamanya kepada saham Telekom Malaysia Berhad (“TM”) pada 2006, Khazanah telah menerbitkan beberapa lagi sekuriti berlandaskan syariah.

Ini merupakan sukuk boleh tukar pertama yang distruktur oleh Khazanah berdasarkan prinsip Mudarabah dan Murabahah1. Sebelum ini, sukuk yang diterbitkan oleh Khazanah adalah berdasarkan struktur Musyarakah2 dan Wakalah3. Terbitan sukuk yang diumumkan pada hari ini mencatatkan penanda aras baru bagi sukuk boleh tukar dengan menyediakan pilihan tambahan kepada para penerbit sukuk lain untuk mencapai kumpulan pelabur yang lebih besar. Sukuk tersebut juga menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (“MIFC”) serta membantu memperkukuhkan status Malaysia sebagai pusat penerbitan sukuk peringkat antarabangsa dan peneraju kewangan Islam. Sukuk tersebut bakal disenaraikan di Bursa Singapura, Bursa Malaysia (di bawah Aturan Terkecuali) dan Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar berkata: “Malaysia merupakan peneraju sektor kewangan Islam yang dinamik dan secara terus-menerus membangunkan produk yang berinovasi tinggi serta meneroka pasaran baru. Penerbitan sukuk boleh tukar ini adalah selaras dengan strategi terbitan dana Khazanah dan komitmen jangka panjang ke arah pelupusan pelaburannya secara progresif.”

Saham TNB merupakan saham jaminan disandarkan bagi sukuk boleh tukar Khazanah yang keenam selepas TM, Axiata Group Berhad, PLUS Expressways Berhad, Parkson Retail Group Ltd dan IHH Healthcare Berhad.

TNB adalah syarikat penjanaan tenaga elektrik terbesar di Malaysia dan salah sebuah syarikat utiliti terunggul di Asia dengan pelanggan berjumlah kira-kira 8.4 juta di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan. TNB kini tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dan merupakan sebuah syarikat utiliti bersepadu dengan perniagaan teras dalam penjanaan, transmisi dan pengagihan tenaga elektrik. TNB juga beroperasi di enam buah negara lain iaitu Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi, UAE dan Kuwait.

CIMB, Deutsche Bank dan Standard Chartered Bank adalah pengendali tempahan bersama dan pengurus utama bersama urus niaga tersebut.

TAMAT

1. Mudarabah ialah perjanjian perkongsian keuntungan antara pelabur dan usahawan yang mana pelabur menyediakan modal dan usahawan menyediakan kepakaran dalam sesuatu usaha niaga. Keuntungan dikongsi antara pelabur dengan pengusaha pada nisbah yang telah ditetapkan manakala kerugian akan ditanggung oleh pelabur. Murabahah adalah kontrak margin keuntungan yang mana penjual aset menjual kepada pembeli pada harga kos ditambah dengan margin keuntungan.

2. Musyarakah adalah kerjasama antara dua atau lebih rakan kongsi yang menyediakan modal dalam suatu usaha niaga. Risiko dan ganjaran dikongsi bersama mengikut kadar berdasarkan sumbangan modal setiap rakan kongsi.

3. Wakalah merupakan kontrak agensi yang mana pelabur melantik agen untuk melabur bagi pihak mereka. Keuntungan dan kerugian dikongsi antara pelabur manakala pihak ejen dibayar fi agensi oleh pelabur.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected].



Siaran Akhbar Lain
15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya