Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

12 Ogos 2021

Khazanah bersedia untuk memainkan peranannya di bawah PERKUKUH

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) menyambut baik pelancaran Perkukuh Pelaburan Rakyat (“PERKUKUH”) oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini, dan bersedia untuk memainkan peranannya seperti yang ditetapkan di bawah inisiatif nasional tersebut.

Khazanah merupakan antara pihak yang telah menyumbang kepada pembentukan PERKUKUH, yang menyaksikan Kerajaan melaksanakan rundingan secara meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha mengumpul dan memperincikan pelbagai cadangan bagi memastikan ekonomi Malaysia akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan baik pasca pandemik Covid-19 kelak.

Selaras dengan pengenalan PERKUKUH, Khazanah akan terus memperkukuhkan perannya sebagai dana kekayaan berdaulat, iaitu melabur untuk menghasilkan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia. Tumpuan akan diberikan pada pelaburan bagi memperoleh pulangan yang disesuaikan dengan risiko jangka panjang serta mengembangkan lagi aset kewangannya. Dalam kedudukan yang lebih kukuh, Khazanah dijangka akan dapat terus melaksanakan pelaburan pemangkin serta aktiviti lain yang menjurus ke arah mewujudkan faedah ekonomi dan sosial untuk Malaysia. Khazanah akan turut memastikan tumpuan diberikan pada kepentingan Kelestarian (iaitu pertimbangan ESG dan etika) dalam semua usaha yang dilakukannya, yang mana hasilnya akan dapat dinikmati oleh generasi rakyat Malaysia pada masa kini dan akan datang.

Aspek penting dalam pendekatan ini adalah peranan pembangunan yang dimainkan oleh Khazanah untuk negara menerusi pelaburannya. Sejak tahun 2005, Khazanah telah melabur lebih daripada RM14 bilion ke dalam sektor pertumbuhan dan wilayah baharu, termasuk pelaburan dalam Iskandar Malaysia, riadah dan pelancongan, pembangunan lestari, teknologi, sains hayat, industri kreatif dan pertanian.

Menerusi PERKUKUH, Khazanah akan menjuruskan tumpuannya serta memperjelaskan lagi mandatnya dengan memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam pelaburan pembangunannya menerusi hasil sasaran dan KPI pembangunan yang jelas, selain daripada matlamat kewangannya yang sedia ada. Hasil sasaran pembangunan akan dikaitkan dengan agenda dan aspirasi nasional yang menjurus kepada masa depan negara, dan akan merangkumi sasaran seperti peningkatan pendapatan isi rumah, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta hasil sasaran sosio-ekonomi yang lain.

Sehubungan itu, Khazanah akan memberi tumpuan pada pelaburan berimpak tinggi dan berdaya maju secara komersial untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan daya saing ekonomi serta daya tahan negara, sambil memacu hasil sosio-ekonomi keutamaan, seperti yang dihasratkan di bawah PERKUKUH. Dalam hal ini, Khazanah komited untuk meningkatkan pelaburan pembangunannya dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Dana Impak berjumlah RM6 bilion yang dikendalikannya. Peruntukan bagi dana ini akan dibiayai menerusi keuntungan serta modal yang diperoleh hasil daripada pelaburan komersialnya, sambil ia meneruskan strategi pelupusan dan pengimbangan semula portfolio yang dimulakan beberapa tahun yang lepas.

Di bawah PERKUKUH, Khazanah juga akan terus memperkemaskan lagi strategi dan proses pelaburannya untuk pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, yang telah menjadi komponen kian penting dalam pendekatan pelaburannya dalam beberapa tahun kebelakangan. Khazanah merupakan institusi pertama di Malaysia yang menjadi penandatangan bagi Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh PBB serta merupakan ahli pengasas bagi Majlis Pelabur Institusi Malaysia, yang mana kedua-duanya selari dengan komitmennya untuk menjadi pelabur yang mampan dan bertanggungjawab.

Khazanah akan terus memperkukuhkan lagi Dasar Pelaburan Bertanggungjawabnya, yang menggariskan falsafah yang dipegangnya berkaitan ESG serta pendekatannya untuk menerap pertimbangan ESG ke dalam proses pemembuatan keputusan pelaburannya. Melangkah ke hadapan, Khazanah akan terus mempertingkatkan pelaksanaan libat urus secara aktif dengan syarikat pelaburannya serta memberi penekanan pada isu ESG yang penting bagi memastikan ia diuruskan dengan baik.

Di samping itu, melalui pelbagai platform tanggungjawab korporatnya, Khazanah akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada perlindungan sosio-ekonomi dan sosial, seperti yang digariskan di bawah PERKUKUH. Antara platform utama adalah Yayasan Hasanah (“YH”), yang merupakan entiti tanggungjawab korporat berasaskan impak yang tertumpu pada bidang pendidikan, pengetahuan, pembangunan masyarakat, persekitaran serta seni dan kawasan awam. YH ditubuhkan pada tahun 2015 dan dibiayai oleh dana RM3 bilion yang disalurkan oleh Khazanah. YH juga merupakan sekretariat bersama Rangkaian Bantuan Bencana GLC dan GLIC yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha bantuan dan pembinaan semula di seluruh negara, termasuk bantuan kepada golongan terjejas akibat pandemik Covid-19, sejak tahun 2020. Khazanah juga akan terus menyokong inisiatif pemerkasaan sosio-ekonomi nasional yang relevan, termasuk dalam bidang pembangunan modal insan melalui program kebolehpasaran graduan serta memupuk pertumbuhan inklusif menerusi Majlis Kemakmuran Bumiputera, antara lainnya.

Dalam memainkan peranannya dalam inisiatif koordinasi ekosistem pertumbuhan baharu di bawah PERKUKUH, Khazanah akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan pendekatan pihak berkepentingan yang terangkum dalam usaha untuk memperkemaskan lagi koordinasi serta proses bagi mencapai objektif memacu sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

Khazanah akan mengemukakan perincian lanjut dari semasa ke semasa apabila inisiatif khusus yang berkaitan PERKUKUH dilancarkan.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya