‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini melancarkan ‘national fund-of funds’, yang dinamakan sebagai Jelawang Capital Sdn Bhd (“Jelawang Capital”), berikutan penggabungan Malaysia Venture Capital Management dan Penjana Kapital pada bulan Julai dan seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan MADANI 2025 yang ketiga oleh YAB Perdana Menteri. Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Jelawang Capital melambangkan usaha Khazanah dalam membangunkan ekosistem modal teroka (VC) Malaysia. Melalui inisiatif pemangkin ini, Jelawang Capital akan meneruskan usaha membangunkan pengurus-pengurus dana Malaysia di samping menarik penglibatan pengurus dana serantau yang mempunyai kepakaran dan modal.” Tambah beliau, “Industri modal teroka ialah sumber yang penting untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan untuk negara. Walau bagaimanapun, sebuah kajian dari Startup Genome melaporkan hanya 1.5% modal teroka di hab modal teroka terbaik di Amerika Syarikat menikmati pulangan kewangan yang bermakna selepas pelaburan, iaitu kejayaan melepaskan pegangan pelaburan melebihi US$50 juta atau lebih. Ini menggambarkan risiko yang tinggi dan cabaran-cabaran berkaitan kelas aset ini. Oleh itu, usaha bersama daripada semua pihak diperlukan untuk meningkatkan tahap kejayaan. Walaupun modal merupakan asas utama untuk membina ekosistem modal teroka yang bertenaga, faktor-faktor kejayaan penting yang lain termasuk kemudahan menjalankan perniagaan, ketersediaan tenaga kerja dan pengukuhan teknologi dan kepakaran. Disebabkan inovasi tidak berbatas, kombinasi modal, pengawalan yang berkesan, tenaga kerja dan teknologi akan menentukan masa depan Malaysia. Jelawang Capital akan diketuai oleh Bryan Lim sebagai Ketua Pegawai eksekutif. Beliau juga merupakan Ketua Dana Impak di Khazanah. Bryan Lim berkata, “Jelawang Capital dinamakan sempena air terjun tertinggi di Malaysia. Visi kami untuk ekosistem VC tempatan bermula dengan penyediaan modal kepada pengurus dana. Kami membayangkan modal ini dan kepakaran pengurus akan mengalir kepada syarikat permulaan berpotensi tinggi. Seperti air terjun yang mengalir ke dalam sungai yang menyuburkan flora dan fauna tempatan, kami berharap pelaburan berpotensi tinggi ini akan memperkayakan “hutan hujan” (ekosistem) VC yang lebih luas dengan inovasi dan pekerjaan berkualiti. Seperti mana-mana hutan yang sihat, kejayaan tidak hanya bergantung kepada ketersediaan air (modal), tetapi juga pada banyaknya cahaya matahari dan nutrien. Dalam memperkukuh ekosistem ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi dan pelabur yang sehaluan.” Untuk memacu perkembangan ekosistem modal teroka Malaysia, Jelawang Capital akan menerajui dua inisiatif: Emerging Fund Managers’ Program (EMP):- Matlamat EMP adalah untuk memupuk pengurus-pengurus dana Malaysia yang berpotensi untuk mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga.
- RMI bermatlamat untuk mengukuhkan ekosistem permulaan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan firma VC serantau.
TAMAT