Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

10 Disember 2013

Khazanah sumbang RM10 juta untuk meringankan beban mangsa banjir dan persiapan menghadapinya

Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sumbangan RM10 juta oleh Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) bagi menyokong usaha berterusan membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas serta persediaan menghadapi banjir pada masa depan. Sumbangan tersebut dijangka akan membantu pelbagai usaha yang sedang dijalankan oleh beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) di bawah Khazanah bagi meringankan beban mangsa banjir di beberapa kawasan di seluruh negara.

Dato’ Sri Mohd Najib, yang juga Pengerusi Khazanah, membuat pengumuman tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-69 di Puteri Harbour, Nusajaya.

Sumbangan RM10 juta tersebut tertumpu kepada dua bidang khusus:

  • Untuk menyokong usaha bantuan banjir dan pemulihan segera serta persediaan untuk menghadapi gelombang kedua banjir dalam tempoh terdekat

  • Untuk menyokong inisiatif kesediaan di kawasan yang berisiko tinggi untuk menghadapi banjir dalam jangka masa sederhana dan panjang

Khazanah akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (“MKN”) dan MERCY Malaysia (“MERCY”) bagi tujuan ini. Selain itu, Khazanah akan turut bekerjasama dengan beberapa rakan organisasi lain dalam menyalurkan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

MKN mengetuai pasukan petugas mengawasi dan menyelaras semua usaha bantuan dan pemulihan di kawasan yang dilanda banjir. Di samping itu, ia juga memantau usaha-usaha bantuan serta pemulihan bagi meningkatkan keupayaan dan kesediaan untuk menghadapi krisis banjir pada masa akan datang. Sementara itu, MERCY pada masa ini menyediakan perkhidmatan perubatan, pengagihan kit kebersihan serta bantuan makanan, dengan tumpuan pada masa ini kepada kawasan-kawasan yang terjejas teruk di Pahang dan Terengganu. MERCY telah menjadi Rakan Pertubuhan Perkhidmatan Awam (Civil Service Partner Organisation) Khazanah bagi kawasan ini sejak 2005

Sumbangan RM10 juta tersebut adalah lanjutan daripada bantuan yang telah diberikan oleh Khazanah serta beberapa GLC di bawah Khazanah termasuk UEM Group Berhad, Kumpulan CIMB, Axiata Group Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airline System Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Sejak permulaan krisis banjir, kesemua GLC ini telah menyalurkan sumbangan yang secara kolektif bernilai kira-kira RM4.5 juta dalam bidang sokongan:

  • Bantuan kewangan dalam bentuk sumbangan dan derma kepada dana bantuan bencana, organisasi yang terlibat dalam usaha-usaha bantuan dan pekerja syarikat yang terjejas akibat banjir.

  • Bantuan dalam bentuk keperluan asas, makanan, bekalan perubatan dan unit generator elektrik.

  • Sumbangan kewangan oleh penganjur , peserta dan pengunjung pada ISKARNIVAL 2013 yang diadakan pada 7 dan 8 Disember, di sini.

  • Kumpulan sukarelawan di kalangan pekerja untuk yang terlibat dalam usaha bantuan dan pemulihan.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata: “Kerajaan telah menggerakkan segala usaha melalui pasukan petugas Majlis Keselamatan Negara dan akan terus menyediakan bantuan segera bagi keluarga yang terjejas oleh banjir. Saya yakin sumbangan oleh Khazanah dan GLC, serta semua sumbangan lain secara kolektif akan membantu untuk meringankan beban rakyat yang terjejas oleh banjir.”

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Hj. Mokhtar berkata: “Kesihatan dan keselamatan mereka yang terjejas oleh banjir menjadi keutamaan. Kami berharap sumbangan oleh Khazanah dan syarikat-syarikat kami akan membantu untuk meringankan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan seterusnya memastikan tahap kesedian menghadapi krisis banjir akan dapat dipertingkatkan pada masa depan.”

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Asuki Abas di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, prasarana, riadah & pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan serta teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd., Tenaga Nasional Bhd., CIMB Group, Axiata Group Bhd., IHH Healthcare Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya