Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum strategi jangka panjang ke arah Memajukan Malaysia

Soroton
• Nilai Aset Bersih (“NAV”) meningkat daripada RM79b kepada RM86b
• Catat Kadar Pulangan Berwajaran Masa (“TWRR”) NAV 19% bagi Dana Komersial
• Laksana pelaburan baharu bernilai RM8.7b, sementara RM4.8b aset ditunaikan
• Dana Impak dengan peruntukan RM6b untuk tempoh 5 tahun sebagai pemangkin sektor pertumbuhan baharu

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun 2021 serta strategi jangka panjang yang dijangka meletakkan sayap pelaburan strategik Kerajaan tersebut pada landasan yang lebih kukuh bagi memenuhi mandatnya untuk menghasilkan nilai yang mampan bagi rakyat Malaysia.

Sungguhpun tahun 2021 menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur, tempoh tersebut kekal mencabar dengan sekatan berkaitan Covid-19 yang dilaksanakan, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran dan ekonomi seluruh dunia.

Ketika menyampaikan ulasan tahunan pertamanya sebagai Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Sungguhpun berhadapan cabaran akibat sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi yang berkurangan di peringkat global, Khazanah tetap berjaya mencipta nilai, menjana pulangan pelaburan yang kukuh dan meningkatkan NAV sebanyak RM7b. Kami juga meneruskan usaha pengimbangan semula portfolio ke arah mencapai kedudukan portfolio yang lebih terpelbagai serta melaksanakan usaha untuk menyokong syarikat pelaburan kami yang paling terjejas akibat Covid-19 terutama dalam sektor penerbangan dan pelancongan.”

Dato’ Amirul Feisal turut mengumumkan strategi jangka panjang Khazanah yang menguatkan lagi komitmen dana kekayaan berdaulat berkenaan untuk memajukan ekonomi Malaysia serta rakyatnya menerusi Dana Impak yang merupakan peruntukan baharu yang diwujudkan bagi memacu sektor pertumbuhan baharu, memainkan peranan yang lebih aktif sebagai institusi kepengurusan, memanfaatkan rangkaian globalnya untuk memudahkan aliran pengetahuan dan peluang pelaburan ke Malaysia, serta mewujudkan nilai kemasyarakatan untuk rakyat Malaysia.

Prestasi Kewangan

Khazanah terus mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara dengan NAV mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (“CAGR”) sebanyak 5.8% sejak 2004.

Pada 2021, NAV Khazanah meningkat daripada RM79b kepada RM86b. Bagaimanapun, keuntungan daripada operasi susut kepada RM670j pada 2021 daripada RM2.9b pada 2020. Penyusutan keuntungan ini disebabkan bantuan kewangan berterusan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat dalam sektor penerbangan dan pelancongan miliknya yang berhadapan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19. Selain itu, penyusutan keuntungan Khazanah juga dipengaruhi oleh perolehan nilai saksama yang lebih rendah serta pendapatan dividen yang berkurangan daripada syarikat-syarikat pelaburannya akibat pendapatan yang lemah pada tahun 2020.

Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah RM8.7b pada 2021, yang mana sebahagian besar daripadanya dilaburkan di Malaysia (41.7% atau RM3.6b) serta berjaya memperoleh RM4.8b hasil daripada pengewangan aset dalam portfolionya.

Dalam pada itu, Khazanah terus mengekalkan disiplin kewangannya. Perbelanjaan mengurus (OPEX) berjaya dikurangkan kepada RM420 juta daripada RM490 juta pada 2020. Kedudukan hutangnya meningkat sedikit kepada RM48b daripada RM43b pada tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) berbanding nisbah hutang kekal pada kedudukan yang baik pada 2.8 kali ganda.

Bagi tahun 2021, Khazanah telah mengisytiharkan dividend berjumlah RM2.0b kepada Kerajaan.

Prestasi Portfolio

Prestasi Dana Komersial Khazanah adalah selaras dengan sasaran jangka panjangnya apabila ia mencatatkan kadar pulangan berwajaran masa (“TWRR”) NAV 19.0% pada 2021 yang bersamaan dengan pulangan 7.0% untuk kitaran tiga tahun. Ini telah meletakkan Khazanah pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jangka panjang kitaran lima tahun Indeks Harga Pengguna (“CPI”) + 3.0%.

Prestasi positif ini adalah hasil daripada pemulihan portfolio tersenarai di Malaysia selepas tiga tahun mencatatkan prestasi yang rendah, kejayaan pengewangan pelaburan Ekuiti Swasta (“PE”) di Amerika Syarikat dan Eropah serta prestasi kukuh program pelaksanaan pelaburan dalam Ekuiti Awam di Pasaran Maju (“DM”) yang baharu.

Pengimbangan semula portfolio Khazanah ke arah sasaran Peruntukan Aset Strategik (“SAA”) menyaksikan pelaksanaan pelaburan berterusan ke dalam Ekuiti Awam di Pasaran Maju (“DM”), Aset Nyata (“RA”) dan Ekuiti Swasta (“PE”). Bagi aset milik Khazanah di Malaysia pula, tumpuan terus diberikan kepada usaha penciptaan nilai bagi meningkatkan daya tahannya pada masa depan serta memacu peningkatan prestasi dalam perniagaan aset-aset ini.

Khazanah terus memberi sokongan kepada beberapa asetnya dalam Dana Strategik bagi membantu aset-aset tersebut mengharungi kesan pandemik Covid-19 serta memberi perlindungan kepada nilai pemegang saham. Dana Strategik Khazanah telah mencatatkan TWRR NAV negatif 11.4% pada 2021, lanjutan daripada prestasi pelaburan Khazanah yang terjejas akibat Covid-19 termasuk dalam sektor penerbangan dan pelancongan.

Meskipun berhadapan dengan situasi yang mencabar, Khazanah telah meraih beberapa pencapaian ketara termasuk penyelesaian proses penstrukturan semula Malaysia Aviation Group Bhd (“MAGB”) yang menyaksikan pengurangan liabiliti sebanyak RM15b. Usaha penstrukturan tersebut telah membolehkan MAGB menjadi lebih kukuh dari segi kewangan mempersiapkan syarikat penerbangan tersebut untuk meneruskan operasinya apabila aktiviti perjalanan udara pulih kelak.

Khazanah turut terus memberikan sokongan kepada aset-aset pembangunan miliknya seperti Themed Attractions Resorts & Hotels (“TARH”) dan Iskandar Malaysia menerusi suntikan modal pada 2021 dan kini bekerjasama dengan pengurusan syarikat-syarikat tersebut untuk membangunkan dan melaksanakan strategi bagi pemulihan dan kemampanan perniagaan.

Menyampaikan Manfaat Sosial

Selain daripada menghasilkan pulangan kewangan, Khazanah terus menyampaikan nilai dan impak masyarakat melalui entiti dan inisiatif berkaitannya. Yayasan miliknya, Yayasan Hasanah, telah menguruskan sejumlah RM554j pada 2021 yang secara langsung dan tidak langsung telah membantu 1.5 juta orang melalui usaha bantuan Covid-19 dan pelbagai program lain. Khazanah Research Institute terus menjalankan penyelidikan mengenai isu-isu paling mendesak untuk negara dengan sejumlah 30 penerbitan dihasilkan pada 2021. Taman Tugu Malaysia menyaksikan peningkatan 30% dari segi jumlah pengunjung pada 2021 walaupun taman berkenaan ditutup selama 19 minggu dan turut berjaya memuktamadkan kuantifikasi jejak penangkapan karbonnya.

Menuju Ke Hadapan

Khazanah telah menetapkan empat imperatif strategik bagi mencapai matlamatnya untuk menyampaikan nilai mampan untuk rakyat Malaysia.

• Memajukan Malaysia akan menyaksikan Khazanah melaksanakan empat inisiatif utama bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi kesan ketara kepada negara.
   o Dana Impak akan melabur dalam sektor pemangkin yang akan mengukuhkan daya tahan negara serta membuka peluang pertumbuhan baharu. Enam tema telah dikenal pasti bawah Dana Impak iaitu Masyarakat Digital & Hab Teknologi, Kesihatan Berkualiti & Pendidikan untuk Semua, Pekerjaan Baik & Mobiliti Sosial, Jaminan Makanan & Tenaga, Membina Ketahanan Iklim dan Persaingan di Pasaran Global.
   o Mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran modal tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
   o Mewakili Malaysia menerusi pelaburan dan perkongsian globalnya untuk memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan.
   o Membina kapasiti dan membangunkan masyarakat berdaya untuk manfaat rakyat Malaysia.

• Membina Kekuatan Kewangan adalah teras bagi Khazanah dan ia akan dilaksanakan menerusi portfolio terpelbagai yang boleh mencapai sasaran pulangan terlaras risiko jangka panjang serta mengekalkan disiplin kewangan. Khazanah juga akan berusaha untuk memulihkan beberapa asetnya, bukan sahaja yang terkesan akibat pandemik tetapi juga yang berhadapan dengan isu struktur dalam sektor berkenaan.
• Mewujudkan Masa Depan Mampan ialah strategi ketiga yang akan menyaksikan Khazanah memasukkan pertimbangan ESG dalam semua usaha yang dilakukannya, daripada cara ia membuat keputusan pelaburan kepada cara warga kerjanya menjalankan kerja seharian mereka. Khazanah juga berharap dapat memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan ESG yang saksama dan bertanggungjawab untuk Korporat Malaysia.
Muka Surat 4 / 4 • Membangunkan Pasukan Cemerlang adalah penting dalam menyampaikan tujuan Khazanah dengan menerapkan budaya berprestasi tinggi dan kerjasama, melengkapkan pekerja dengan kemahiran masa depan dan menggunakan teknologi baharu dalam kerja harian.

“Dua tahun kebelakangan ini adalah sangat mencabar bagi kami untuk mengemudi pasaran yang tidak menentu dan kesan sosial dan ekonomi daripada pandemik yang melanda. Kita harus terus bersama dan mengambil peluang ini untuk melakar laluan ke arah pertumbuhan, bagi membolehkan kita bangkit kembali dalam keadaan yang lebih kukuh sebagai sebuah negara. Kami benar-benar percaya bahawa strategi baharu Khazanah akan membolehkan kami mencapai matlamat ini, dan untuk tujuan ini, kami menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam perjalanan ini ke arah Memajukan Malaysia,” ujar Dato’ Amirul Feisal.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Sherliza Zaharudin di talian Tel +603 2034 0000, atau e-mel [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) ialah dana kekayaan berdaulat Malaysia yang diamanahkan untuk menyampaikan nilai mampan untuk rakyat Malaysia dengan mencapai pulangan terlaras risiko jangka panjang. Ia bertujuan untuk memajukan Malaysia dengan meningkatkan daya saing dan kekuatan ekonomi, memangkin aktiviti perniagaan serta membina daya tahan dan kemampanan sosio-ekonomi. Untuk mencapai matlamat ini, Khazanah akan membina kekuatan kewangannya dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, sektor swasta dan masyarakat. Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya