Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

2 Mac 2020

ULASAN TAHUNAN KHAZANAH 2020

02 Mac 2020

Khazanah catat prestasi kukuh pada 2019

Keuntungan tertinggi RM7.36 bilion, perbelanjaan turun 28.2%, hutang dikurangkan 17.0%

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), dalam tahun penuh pertama di bawah mandat baharunya, telah berjaya memulihkan prestasi keseluruhan untuk tahun 2019 dengan mencatatkan keuntungan operasi tertinggi dalam sejarahnya yang disumbangkan oleh hasil pelupusan yang lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Khazanah telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai bidang, termasuk menjana pulangan sejajar dengan sasaran jangka panjang bagi Dana Komersial seliaannya, menyumbang pulangan kewangan dan strategik bagi aset dalam Dana Strategik seliaannya, serta mengukuhkan kedudukan kewangannya menerusi pengurangan perbelanjaan operasi (“OPEX”) dan pembayaran balik hutang.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan berkata: “Prestasi kami pada tahun 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti yang menyaksikan proses Brexit yang berpanjangan serta perang perdagangan AS-China yang kian sengit. Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia.”

Khazanah telah mencatatkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun 2018. Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala rosot nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya. Khazanah mengumumkan dividen sebanyak RM1.0 bilion untuk tahun 2019.

Khazanah turut mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2% kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada tahun 2018. Ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas[1] (“bps”) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50bps pada tahun sebelumnya.

Jumlah hutang telah berjaya dikurangkan sebanyak 17.0% kepada RM45.8 bilion daripada RM55.2 bilion pada tahun 2018, manakala lindungan Nilai Aset Boleh Tunai[2] meningkat kepada 3.0 kali daripada 2.4 kali.

Dana Komersial, yang merupakan dana kekayaan rentas generasi, telah menghasilkan kadar pulangan wajaran masa 8.3%, melepasi kadar pulangan sasaran jangka panjang bersamaan dengan Indeks Harga Pengguna Malaysia (“CPI”) + 3% pada asas lima tahun. Nilai Aset Bersih (“NAV”) Dana Komersial berada pada RM73.1 bilion setakat 31 Disember 2019.

Setelah setahun melaksanakan aktiviti pengimbangan semula portfolionya, Khazanah telah mula mencatatkan kejayaan awal dalam mempelbagaikan Dana Komersial di bawah mandat baharunya dan berada pada kedudukan yang baik untuk terus meningkatkan aktiviti pelaburannya pada tahun 2020.

Dana Strategiknya pula turut mencapai hasil kewangan dan strategik untuk aset-aset tertentu meskipun pasaran lembab pada tahun 2019. Khazanah telah melaksanakan libat urus secara berterusan dengan Kerajaan untuk memperkukuhkan landskap pengawalseliaan, memperbaharui dan memperkuatkan barisan kepimpinan di syarikat-syarikat pelaburannya, serta memulakan inisiatif penstrukturan bagi meningkatkan prestasi kewangan dan merealisasikan nilai. Dana Strategik menjana pulangan keseluruhan sebanyak 2.9%[3] berbanding kadar pulangan yang disasarkan bagi hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (“MGS”) [4] untuk tempoh 10 tahun atas asas lima tahun.

Khazanah telah berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS (“PLUS”), yang menyaksikan pengurangan kadar tol sebanyak 18% bagi lebuh raya PLUS serta menawarkan penjimatan kepada Kerajaan berjumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baharu yang berakhir pada tahun 2058, yang turut menyaksikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) kekal sebagai pemegang saham PLUS. Penstrukturan semula ini kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada.

Khazanah juga telah memberi pertimbangan sewajarnya atas pilihan yang tersedia padanya untuk menyelesaikan isu-isu utama yang dihadapi oleh Malaysia Airlines (“MAB”) serta melancarkan satu proses untuk menilai rakan kongsi berpotensi bagi syarikat penerbangan negara tersebut pada tahun 2019. Sejumlah sembilan cadangan telah diterima, yang mana empat telah disenarai pendek. Bagi tahun 2020, Khazanah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan dan MAB untuk mengkaji semula cadangan tersebut dan memuktamadkan keputusan mengenai pilihan strategik yang paling sesuai untuk terus maju ke hadapan.

Meninjau ke hadapan, Shahril berkata: “Tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan disukarkarkan lagi dengan penularan wabak Covid-19. Sungguhpun pakej rangsangan ekonomi yang baru diumumkan amat dialu-alukan, kami tetap bersiap sedia untuk menghadapi suatu tempoh kelembapan dalam ekonomi global.

Persekitaran yang tidak menentu akan memberi kesan kepada negara dan syarikat. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa portfolio dan strategi kami yang pelbagai berada dalam keadaan kukuh, sungguhpun kami sedar bahawa kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2019 sukar untuk diulangi.”

Khazanah akan terus memberi tumpuan untuk mempelbagaikan lagi Dana Komersil, sambil bekerjasama dengan Kerajaan untuk meningkatkan lagi rangka kerja pengawalseliaan yang relevan, memasukkan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”) dalam semua aktiviti pelaburan serta mempromosi inisiatif rekaan nilai dalam kalangan syarikat-syarikat pelaburan kami.

TAMAT


[1] Perbelanjaan Operasi berbanding Nilai Aset Boleh Tunai
[2] Nilai Aset Boleh Tunai berbanding Jumlah Hutang
[3] Keuntungan Bersih Beragregat berbanding Aset Ketara Bersih, tidak termasuk MAS. Anggaran tahun penuh setakat 31 Disember 2019
[4] Hasil MGS 10 tahun adalah 3.3% setakat 31 Disember 2019

 



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya