Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

5 Disember 2014

Khazanah umum pelantikan bakal CEO NewCo MAS dan pelantikan barisan kepimpinan kanan bawah Pelan Pemulihan MAS

  • Christoph R. Mueller bakal dicalonkan sebagai sebagai Pengarah Bukan

  • Eksekutif Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) dan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baru, Malaysia Airlines Berhad (“NewCo MAS”)

  • Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly bakal dicalonkan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS

  • Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dilantik sebagai Pengerusi Pusat Latihan Semula Korporat (“CRC”)

  • Shahryn Azmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CRC

  • Dato’ Boonler Somchit dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan cadangannya untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) syarikat baru, Malaysia Airlines Berhad (“NewCo MAS”) serta pelantikan beberapa barisan kepimpinan kanan lain di bawah inisiatif penyusunan semula Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) yang kini sedang dijalankan.

Semua perlantikan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif utama bawah 12 perkara Pelan Pemulihan MAS (“PPM”), yang memerlukan kepada pengukuhan barisan kepimpinan syarikat penerbangan tersebut sedang ia melalui proses peralihan kepada NewCo MAS dalam tempoh beberapa bulan akan datang sehingga 1 Julai 2015.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Khazanah telah memaklumkan bahawa ia telah melaksanakan carian yang meluas di peringkat global untuk mendapatkan calon di kalangan bakat yang sesuai dan berpotensi, serta telah melaksanakan penilaian yang teliti terhadap calon-calon daripada dalam dan luar negara, baik daripada dalam mahupun luar industri penerbangan.

Pelantikan yang diumumkan pada hari ini telah dibincangkan dan diputuskan di mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 4 Disember 2014.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata: “Pelantikan yang diumumkan pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan dan Khazanah untuk meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan masa depan syarikat penerbangan negara kita. Adalah amat penting agar kita mendapatkan bakat yang terbaik yang memiliki kepakaran dan pengalaman untuk terus membantu memacu usaha penyusunan semula yang sedang dijalankan, mengembalikan syarikat penerbangan ini ke landasan keuntungan serta melatih pengganti daripada kalangan rakyat tempatan untuk mengambil alih kepimpinan syarikat penerbangan ini pada masa akan datang. Kerajaan komited untuk memastikan pelan pemulihan MAS dilaksanakan secara menyeluruh dan sehingga ia mencapai kejayaan.” Berikut adalah butiran mengenai pelantikan yang diumumkan pada hari ini:

1. MAS dan NewCo MAS

Christoph R. Mueller bakal dicalonkan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NewCo MAS, berkuatkuasa 1 Januari 2015. Mueller kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Aer Lingus Plc (“Aer Lingus”), syarikat penerbangan kebangsaan Ireland. Kontrak beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aer Lingus akan berakhir pada 1 Mei 2015. Perbincangan kini sedang dijalankan untuk mendapatkan khidmat Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Newco MAS sebelum 1 Mei 2015, tetapi tidak lebih awal daripada 1 Mac 2015. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Newco MAS bakal memulakan operasinya pada 1 Julai 2015.

Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly akan turut dicalonkan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS berkuatkuasa 1 Januari 2015. Pada masa yang sama, Dato’ Sri Mohammed Shazalli akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Celcom Axiata Berhad.

Seorang warga Jerman, Mueller telah memegang jawatan CEO Aer Lingus sejak 2009. Beliau bakal membawa bersamanya ke MAS pengalaman lebih 25 tahun dalam industri penerbangan, logistik dan pelancongan. Secara keseluruhannya, beliau mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun sebagai ketua eksekutif di peringkat bahagian dan kumpulan dalam sektor penerbangan selain memiliki pengalaman yang meluas di peringkat Lembaga Pengarah, termasuk dalam sektor pelancongan.

Mueller memiliki rekod yang kukuh dalam transformasi dan pemulihan dalam industri penerbangan. Antara pencapaian utama serta kepakaran beliau termasuk dalam perancangan strategik dan kewangan selain penyusunan semula struktur syarikat yang bermasalah. Ini termasuk melaksanakan program perubahan serta dalam penggunaan teknologi baru, pengedaran dan penyelesaian runcit.

Dalam tempoh empat setengah tahun beliau bersama Aer Lingus, Mueller telah berjaya memulihkan syarikat penerbangan tersebut daripada kedudukan kerugian, dalam tempoh setahun, dalam suasana pasaran di Ireland merudum serta keadaan pasaran Eropah yang perlahan. Kemampanan kedudukan kewangan dan penjanaan tunai Aer Lingus telah dibina atas strategi dan model perniagaan baru yang membolehkan syarikat penerbangan yang berusia 78 tahun itu terus bersaing dalam persekitaran pasaran mencabar yang menyaksikan syarikat penerbangan legasi tradisional dan syarikat penerbangan tambang murah di Ireland beroperasi seiring. Di bawah kepimpinannya, Dublin juga muncul sebagai salah satu hab utama di wilayah Atlantik Utara bagi penerbangan jarak jauh.

Bawah penyeliaan Mueller, Aer Lingus telah memasuki pasaran baru dan memperkenalkan model perniagaan baru, serta telah berjaya menukar tumpuan syarikat penerbangan tersebut daripada model perniagaan-ke-perniagaan kepada model perniagaan-ke-pengguna dengan tumpuan kepada pengagihan atas talian setinggi 90%.

Rekod pencapaian beliau dari segi pemulihan korporat bermula ketika beliau bertugas di Lufthansa, ketika beliau memegang jawatan Naib Presiden Kanan bagi pengurusan rangkaian dan perancangan korporat, semasa usaha pemulihan syarikat penerbangan tersebut antara 1994 hingga 1999. Pada 1999, beliau telah berpindah ke Sabena SA, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Swissair, yang mana beliau adalah Ketua Pegawai Operasi syarikat tersebut sebelum dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sabena. Semasa bersama kumpulan penerbangan tersebut, Mueller telah membangunkan beberapa pelan untuk disesuaikan dengan pegangan saham Kerajaan Belgium, termasuk program pengurangan kos utama.

Mueller kemudiannya berhijrah ke Delta Air Transport (“DAT”) sebagai pengerusinya. Semasa di DAT, beliau bertanggungjawab dalam penjualan syarikat tersebut kepada pelabur swasta yang kemudiannya menjenamakan semula syarikat tersebut sebagai Brussels Airlines, yang pada hari ini beroperasi sebagai syarikat penerbangan negara Belgium.

Beliau menyertai DHL Express pada 2002 dan telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangannya tidak lama selepas ia telah dikuasai oleh Deutsche Post, jawatan yang menyaksikannya bertanggungjawab atas organisasi kewangan global yang beroperasi di 200 negara seluruh dunia.

Sehingga 2006, Mueller telah berkhidmat selama dua tahun sebagai ahli Lembaga Eksekutif TUI AG, sebuah kumpulan peranginan global yang disenaraikan di DAX 30. Di kumpulan tersebut, beliau bertanggungjawab dalam kawalan kewangan, perniagaan penerbangan, pembelian pusat dan pembangunan pasaran baru. Selepas penggabungan aktiviti pelancongan TUI AG dengan First Choice Holidays Plc menjadi TUI Travel Plc, sebuah syarikat FTSE 100, Mueller telah berperanan sebagai Pengarah Eksekutif, Penerbangannya, dan bertanggungjawab atas 160 buah pesawat yang dikendalikan oleh tujuh syarikat penerbangan bebas di Eropah dan Maghribi.

Pencalonan Christoph Mueller dan Dato’ Sri Mohammed Shazalli untuk menganggotai Lembaga Pengarah MAS adalah lanjutan daripada pelantikan Mohd Izani Ashari sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif syarikat penerbangan tersebut pada 12 September 2014.

Berkuat kuasa 1 Januari 2015, Lembaga Pengarah MAS akan terdiri daripada:

  • Tan Sri Md Nor Yusof (Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif)

  • Ahmad Jauhari Yahya (Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan Kumpulan)

  • Christoph R. Mueller (Pengarah Bukan Eksekutif / Ketua Pegawai Eksekutif NewCo MAS)

  • David Lau Nai Pek (Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif)

  • Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif)

  • Mohd Shahazwan Mohd Harris (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif)

  • Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif)

  • Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani (Pengarah Bebas Bukan Eksekuti

  • Tan Sri Sukarti Wakiman (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif)

  • Dr. Mohamadon Abdullah (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif)

  • Mohd Izani Ashari (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif)

  • Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly (Pengarah Bukan Eksekutif)

  • Dato’ Fauziah Yaacob (Pengarah Silih Ganti kepada Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah / Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif)

2. Pusat Latihan Semula Korporat

Seperti yang diumumkan oleh Khazanah sebelum ini, Pusat Latihan Semula Korporat (“CRC”), bersama dengan Pusat Penempatan Semula, akan bersama-sama membekalkan khidmat latihan semula, mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang penempatan semula bagi pekerja yang tidak berhijrah ke NewCo MAS. Seperti yang diumumkan dalam pembentangan perkembangan PPM, CRC dijadualkan untuk dilancarkan pada 1 April 2015.

Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid akan dilantik sebagai Pengerusi CRC, manakala Shahryn Azmi akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, manakala Dato’ Boonler Somchit pula akan dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC. Semua pelantikan ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2015.

Tan Sri Bashir yang kini memegang jawatan Penasihat di Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”) akan kekal dalam jawatan tersebut, selain peranan beliau sebagai Pengerusi CRC. Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Urusan bagi pengendali lapangan terbang tersebut selama 11 tahun. Dalam kerjayanya yang luas dalam bidang penerbangan, Tan Sri Bashir juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di MAS, serta pernah menjadi Penasihat Penerbangan kepada Kementerian Pengangkutan sebelum menyertai MAHB.

Shahryn merupakan Pengarah Rantau Asia dan Rakan Kongsi di Jack Rouse Associates, sebuah syarikat peneraju global dalam bidang pameran dan reka bentuk tarikan dan telah memegang jawatan itu sejak 2009. Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif di YKSM Centre for Leadership Development Sdn Bhd selama lebih daripada tiga tahun. Pusat ini merupakan kumpulan perunding organisasi dengan tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan yang juga merupakan salah satu cabang perunding bagi Yayasan Kajian dan Strategi Malaysia. Shahryn juga mempunyai pengalaman dalam sokongan khusus bagi syarikat-syarikat dalam peralihan seperti organisasi yang baru sahaja melalui penggabungan atau pengambilalihan, perubahan kepimpinan atau pembatalan kawal selia.

Dato’ Boonler pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang selama kira-kira 25 tahun sehingga Februari 2014. Sebelum ini, beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran, termasuk di beberapa institusi pengajian tinggi. Beliau juga pernah menganggotai pelbagai panel dan jawatankuasa yang berkaitan termasuk, dalam bidang sumber manusia, teknologi, keusahawanan dan pembangunan industri.

Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah, berkata: “Lembaga Pengarah Khazanah, dalam mempertimbangkan semua cadangan pelantikan ini, telah mengambil kira kepentingan penstrukturan semula MAS, yang memerlukan kepakaran terhandal dalam bidang pengurusan sektor penerbangan, khususnya, mereka yang memiliki rekod pencapaian pemulihan syarikat penerbangan kebangsaan. Satu carian meluas peringkat global telah dilakukan yang melibatkan bakat-bakat tempatan dan luar negara. Christoph merupakan calon yang terbaik dan beliau mempunyai dua tugas yang tidak kurang pentingnya: mengetuai inisiatif pemulihan syarikat penerbangan negara ini serta melahirkan golongan pelapis tempatan.

“Pelantikan Dato’ Sri Shazalli ke Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif akan turut membawa bersamanya pengalaman yang luas serta kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pemasaran, penjenamaan dan pemulihan semula korporat. Selain itu, penubuhan CRC merupakan salah satu daripada 12 perkara di bawah Pelan Pemulihan MAS. Gandingan pengalaman dan kepakaran Tan Sri Bashir, Shahryn and Dato’ Boonler dijangka akan memastikan CRC bermula dengan baik, insya-Allah.”

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya