Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 Oktober 2013

Khazanah dan Huawei bekerjasama bagi menubuhkan Pusat Penghosan Data dan Logistik Serantau Huawei di Iskandar Malaysia

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd (“Huawei”) bagi penubuhan Pusat Penghosan Data dan Logistik Serantau Huawei yang terletak di Nusajaya, Iskandar Malaysia.

Khazanah dan Huawei telah bertukar dokumen perjanjian kerjasama tersebut di majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping. Khazanah diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Ben Chan manakala Huawei, sebuah syarikat Fortune Global 500 yang merupakan pembekal penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (“ICT”) global yang terkemuka, diwakili oleh Presiden bagi Rantau Pasifik Selatan Huawei, David Wei Cheng Min.

Menurut perjanjian kerjasama tersebut, Khazanah akan menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh Huawei untuk menubuhkan Pusat Penghosan Data dan Logistik Serantau berkenaan. Pusat ini akan mengandungi pejabat serta ruang gudang seluas 90,000 kaki persegi dan akan menjadi pusat perkhidmatan pelanggan serantau Huawei, dengan memanfaatkan lokasi strategik Iskandar Malaysia serta insentif pelaburan kerajaan. Penubuhan pusat ini dijangka akan mewujudkan 600 pekerjaan dalam pelbagai jawatan pengurusan, teknikal dan pentadbiran. Di samping itu, Huawei akan terlibat dalam membangunkan kepakaran ICT tempatan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja pusat tersebut.

“Khazanah berasa sukacita kerana dapat menjalinkan kerjasama ini dengan Huawei. Pelaburan strategik oleh Huawei ini merupakan satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan serta kemajuan Iskandar Malaysia, yang secara keseluruhan terus menarik pelaburan dalam pelbagai sektor daripada pelabur tempatan dan asing. Kami berharap untuk bekerjasama dengan Huawei dan yakin bahawa usaha kami akan berjaya, “kata Tan Sri Dato ‘Azman, Pengarah Urusan Khazanah.

David Wei Cheng Min pula berkata: “Malaysia merupakan salah satu pasaran yang paling penting bagi Huawei di rantau Asia Pasifik. Pengumuman hari ini merupakan satu langkah baru ke hadapan bagi pembangunan Huawei di Malaysia. Pelaburan baru kami di Nusajaya, Iskandar Malaysia adalah satu lagi peristiwa penting dalam menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk perniagaan serantau kami untuk meningkatkan capaian kami di rantau Asia Pasifik. Keterbukaan Malaysia kepada pelaburan asing, insentif untuk menggalakkan pelaburan asing, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kelebihan lokasi, menguatkan keyakinan kami untuk terus melabur di Malaysia. Sebagai pembekal penyelesaian ICT yang terkemuka di dunia, Huawei akan terus menyokong peningkatan dan transformasi ICT di Malaysia. Saya ingin merakamkan penghargaan kami kepada sokongan kukuh serta persekitaran perniagaan yang mesra yang telah disediakan oleh Kerajaan Malaysia.”

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Asuki Abas di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, prasarana, riadah & pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan serta teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, dan UEM Sunrise Bhd.

Tentang Huawei

Huawei merupakan pembekal penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (“ICT”) global yang terkemuka. Berdasarkan dedikasinya kepada inovasi berteraskan pelanggan dan perkongsian yang kukuh, Huawei telah menyediakan manfaat rangkaian telekomunikasi lengkap, alat-alat dan pengkomputeran awan. Huawei komited untuk mewujudkan nilai maksimum bagi pengendali, perusahaan serta pengguna telekomunikasi dengan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan yang kompetitif. Produk dan penyelesaian Huawei telah digunakan di lebih daripada 140 buah negara, yang memberi khidmat kepada lebih daripada satu pertiga daripada populasi dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari Huawei talian: www.huawei.com.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya