Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 Oktober 2013

Khazanah dan Beijing Enterprises Group jalin kerjasama dalam sektor berkaitan alam sekitar

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) akan bekerjasama dengan Beijing Enterprises Group Company Limited (“Beijing Enterprises Group”) dalam usaha untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor berkaitan alam sekitar yang kian berkembang di China. Kerjasama tersebut melibatkan pelaburan ekuiti oleh Khazanah dalam Beijing Enterprises Water Group Limited (“BEWG”) serta usaha sama kedua-dua pihak untuk membangunkan platform kukuh dalam sektor sisa-kepada-tenaga (“WTE”).

Bagi pelaburan ekuiti dalam BEWG, Khazanah, melalui anak syarikat milik penuhnya, Mount Reskit Investments Limited (“Mount Reskit Investments”) akan melanggan 400 juta saham baru dalam syarikat tersebut, yang mewakili kira-kira 4.95% modal yang diperbesar pada harga HK$2.95 sesaham. Khazanah bakal muncul sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam BEWG selepas Beijing Enterprises Group (47.3%) dan Tenson Investment Limited (8.44%). BEWG bercadang untuk menggunakan hasil kutipan bersih yang berjumlah kira-kira HK$1.18 bilion (USD152 juta atau RM486 juta) sebagai modal kerja amnya.

Pada masa yang sama, anak syarikat Khazanah, KCS Green Energy International (Group) Investments Company Limited (“KCS Green Energy”) dan anak syarikat Beijing Enterprises Group akan menggabungkan sumber WTE untuk memperkukuhkan syarikat tersebut di China serta meninjau potensi untuk terus berkembang ke pasaran Asia yang lain. KCS Green Energy dan Beijing Enterprise Group masing-masing kini memiliki dan mengendalikan tiga dan empat loji WTE di China dengan gabungan kapasiti kira-kira 6,000 tan sehari.

Sektor air dan WTE adalah sangat strategik dan kedua-duanya merupakan proksi penting bagi pembandaran di China. Permintaan yang kian meningkat bagi air, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti, dijangka akan menjadi tema utama di China pada dekad akan datang memandangkan masalah kekurangan air akan lebih meruncing pada masa depan akibat pertumbuhan bilangan penduduk, pembandaran serta isu-isu berkaitan pencemaran air. Persekitaran industri air yang kian kompetitif dijangka akan terus menyebabkan perubahan struktur dalam sektor berkenaan yang mana syarikat-syarikat utama dan kukuh akan berkembang pesat melalui pertumbuhan organik selain menerusi penggabungan dan perolehan. Khazanah telah sekian lama mengenal pasti WTE sebagai sektor pertumbuhan tinggi dan bermula 2008 telah mula melabur dalam perniagaan pembangunan WTE di China melalui KCS Green Energy.

Khazanah yakin bahawa kerjasama strategik dengan Beijing Enterprises Group akan mengukuhkan lagi portfolionya dalam pelaburan pembangunan lestari di China. Khazanah, sebagai dana pelaburan strategik Malaysia, berharap dapat sedikit sebanyak menyumbang secara positif kepada proses pembandaran yang berterusan di China serta usaha pengimbangan semula ekonomi dan sosial semasa. Di samping itu, perkongsian dengan Beijing Enterprises Group juga merupakan pencapaian penting dalam strategi pelaburan Khazanah di China selari dengan usaha Khazanah untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di negara berkenaan. Khazanah berharap perkongsian ini akan membuka peluang-peluang bagi pelaburan lain dengan rakan kongsi yang berpengalaman, bereputasi dan profesional dari China.

Beijing Enterprises Group pula ingin membina perkongsian dengan Khazanah dalam membangunkan perniagaan berkaitan alam sekitar di China serta pasaran luar negara. Lembaga Pengarah BEWG turut yakin bahawa pelaburan oleh Khazanah akan mengukuhkan asas ekuiti BEWG serta memberi manfaat kepada pengembangan perniagaannya di Malaysia dan Asia Tenggara.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Asuki Abas di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, prasarana, riadah & pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan serta teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, dan UEM Sunrise Bhd.

Tentang Beijing Enterprises Group Company Limited

Ditubuhkan pada 18 Januari 2005, Beijing Enterprises Group Company Limited (“Beijing Enterprises Group”) adalah salah satu daripada sebilangan kecil syarikat yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perbandaran Beijing dan Kerajaan Perbandaran Beijing untuk mempercepatkan perubahan strategik dalam modal milik negara. Beijing Enterprises Group adalah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan setelah penstrukturan semula bersama Beijing Holdings Limited, Beijing Enterprises Holdings Limited dan Beijing Gas Group Company Limited. Ia adalah salah satu syarikat milik kerajaan terbesar di Beijing. Syarikat tersebut juga menjadi entiti pendanaan yang diwujudkan oleh Jawatankuasa Perbandaran Beijing, Kerajaan Perbandaran Beijing dan pihak Penyelia Aset Milik Kerajaan dan Suruhanjaya Pengurusan Beijing untuk membantu pelaburan, operasi dan pengurusan dalam bidang infrastruktur dan utiliti di Beijing. Sejak penubuhannya, Beijing Enterprises Group diiktiraf sebagai salah satu daripada “500 Syarikat Terbesar di RRC” dan “500 Syarikat Utama di China”.

Beijing Enterprises Group terlibat dalam pelaburan infrastruktur dalam bandar dan utiliti, operasi dan pengurusan. Anak syarikatnya, Beijing Enterprises Holdings Limited (Kod Stok: 392.HK), memiliki pelbagai syarikat berkualiti termasuk Beijing Gas, Yanjing Beer dan Beijing Enterprises Water Group Limited (Kod Stok: 371.HK).

Tentang Beijing Enterprises Water Group Limited (stock code: 371.HK)

Beijing Enterprises Water Group Limited (“BEWG”) telah diperbadankan di Bermuda sebagai syarikat yang dikecualikan dengan liabiliti terhad dan saham-saham yang disenaraikan di The Stock Exchange of Hong Kong Limited. Syarikat pemegang utama BEWG ialah Beijing Enterprises Holdings Limited, (kod saham: 392.HK). BEWG adalah pembekal penyelesaian sistem air bersepadu dengan kepakaran dalam perkhidmatan air dan perniagaan perlindungan alam sekitar. Rawatan sisa air adalah salah satu daripada perniagaan terasnya.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya