Jelawang Capital Umum Pemilihan Pengurus Dana Pertama EMP dan RMI bagi Memperkukuhkan Ekosistem Modal Teroka Malaysia

24 Jun 2025

Lima (5) firma VC dipilih di bawah EMP dan RMI untuk memperkasa keupayaan pengurus dana tempatan, membawa kepakaran global ke dalam ekosistem VC negara

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) bersama anak syarikatnya, Jelawang Capital (“Jelawang”), hari ini mengumumkan pemilihan lima firma modal teroka (VC) pertama di bawah Emerging Fund Managers’ Programme (“EMP”) dan Regional Fund Managers’ Initiative (“RMI”). Pengumuman ini dibuat dalam satu majlis rasmi yang dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.

Pemilihan ini merupakan susulan kepada pelancaran EMP dan RMI pada Oktober 2024, yang menandakan komitmen berterusan Khazanah dalam memperkukuh keupayaan pengurus dana tempatan serta membangunkan ekosistem modal teroka negara.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pemilihan barisan pengurus dana ini selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan menjadi langkah penting dalam memangkin ekosistem modal teroka negara. Pengumuman ini berserta pengiktirafan Kuala Lumpur di antara 20 Ekosistem Syarikat Start-up Baharu Muncul terbaik dunia merupakan langkah yang memberangsangkan dan mencerminkan potensi besar yang boleh diterokai melalui sasaran strategik yang diselaraskan.”

Daripada lima firma yang diumumkan, tiga telah dipilih di bawah EMP – program yang dirangka untuk membantu pengurus dana tempatan membina dana pertama, kedua atau ketiga mereka. Fokus program ini adalah untuk mewujudkan pengurus dana VC tempatan yang terkemuka di peringkat serantau dengan memperbaiki struktur tadbir urus, membina rekod prestasi yang kukuh dan mengembangkan jumlah dana yang diurus. Peserta EMP adalah seperti berikut:

  • Vynn Capital – Sebuah firma VC tempatan yang memberi tumpuan kepada sektor-sektor khusus dan ditubuhkan bagi menangani keperluan baharu dalam landskap inovasi serantau yang semakin pesat berkembang. Fokus utamanya adalah dalam sektor mobiliti dan rantaian bekalan, meliputi peringkat pelaburan daripada pra-permulaan hingga ke Siri A, dengan sasaran pelaburan di rantau Asia Tenggara.
  • Kairous Capital – Firma VC yang berakar umbi daripada pengalaman dalam pelaburan ekuiti persendirian dan kini menumpukan pelaburannya dalam bidang teknologi. Firma ini memainkan peranan sebagai pakar rentas sempadan dengan membantu syarikat start-up Malaysia untuk menembusi pasaran utama Asia Tenggara, termasuk Vietnam, Thailand dan Indonesia. Kairous Capital menyokong pertumbuhan syarikat berpotensi tinggi di peringkat serantau dan mendorong pemindahan teknologi serta kepakaran dari negara-negara berteknologi maju seperti China.
  • First Move – Firma VC yang diterajui oleh pengasasnya, dengan fokus kepada pelaburan pra-permulaan di seluruh Asia Tenggara. Ditubuhkan oleh individu berpengalaman dalam operasi perniagaan, firma ini bekerjasama rapat dengan pengasas kali kedua dan pakar khusus dalam bidang — bukan sekadar sebagai pelabur awal, tetapi juga sebagai rakan pembina dalam membolehkan idea menonjol menjadi perniagaan yang mampan dan berskala. First Move sering menjadi pelabur institusi pertama yang menawarkan sokongan aktif sejak dari awal penubuhan syarikat.

Dua (2) firma serantau dipilih sebagai rakan kongsi strategik di bawah RMI bagi menarik pengurus dana dari luar negara untuk memperkukuh ekosistem syarikat start-up tempatan. Inisiatif ini menyasarkan usaha komprehensif untuk mempercepat pertumbuhan syarikat start-up tempatan ke peringkat serantau dan global, menggalakkan pemindahan lokasi syarikat antarabangsa ke Malaysia untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan, serta menarik bakat berkualiti tinggi ke dalam ekosistem inovasi negara. Rakan baru dalam RMI adalah:

  • AppWorks – AppWorks ialah firma VC dari Taiwan yang memberi tumpuan kepada pelaburan peringkat awal dan dikenali dengan model yang menggabungkan pemecut tanpa pengambilan ekuiti serta pembiayaan yang berpaksikan keperluan pengasas untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat start-up teknologi di Greater Southeast Asia. AppWorks mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam pulangan kepada pelabur (DPI) dan menumpukan pelaburannya dalam bidang seperti kecerdasan buatan, teknologi blockchain, dan ekonomi digital di Asia Tenggara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat start-up di Malaysia, AppWorks akan melancarkan kohort khas Web 2.0 dan Web 3.0 dengan sokongan daripada pakar pasaran tempatan, sumber modal, dan jaringan pengasas serantau.
  • Granite Asia – Granite Asia merupakan pelabur pelbagai peringkat terkemuka yang fokus terhadap peluang merentas Asia, dengan pengalaman luas membina lebih 115 syarikat unicorn dan 61 penyenaraian awam awal (IPO) di seluruh dunia. Menerusi dana pelaburan peringkat awal, Granite Asia memberi tumpuan kepada syarikat start-up yang berpotensi tinggi dalam sektor seperti teknologi pengguna, perisian perusahaan, penjagaan kesihatan, pembuatan maju dan automasi. Sebagai rakan kerjasama bersama Khazanah dan Jelawang Capital, Granite Asia akan membuka akses bagi pengasas syarikat start-up di Malaysia kepada program ekosistem yang menawarkan panduan strategik, akses kepada rangkaian luas pengasas cemerlang dan pemain industri, serta program yang disusun rapi bagi usahawan untuk membantu syarikat start-up Malaysia berkembang melangkaui pasaran tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
  • Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Melalui inisiatif Dana Impak dan Jelawang Capital, kami memainkan peranan sebagai penjana dan penyambung – menghimpunkan pembiaya, pengasas dan institusi untuk mengukuhkan ekosistem pelaburan yang menyokong segenap jenis firma, daripada peringkat start-up kepada perusahaan saiz pertengahan dan syarikat korporat yang terkemuka. Fokus kami bukan sahaja terhadap modal, tetapi juga dalam menarik penyertaan untuk membina ekosistem yang memupuk pengembangan inovasi – untuk mempertingkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia.”

    Kelima-lima (5) firma VC ini telah dipilih melalui satu proses penilaian yang menyeluruh dan ketat, berasaskan tesis dana pelaburan, keupayaan pasukan teras, tahap tadbir urus yang mantap serta sejauh mana penjajaran mereka dengan keutamaan pembangunan strategik negara.

    Pengerusi Jelawang Capital Datuk Hisham Hamdan menambah, “Kami memulakan usaha dengan pendekatan yang dipacu sistem dalam membina ekosistem, dan melalui EMP dan RMI, kami teruja dapat menyokong generasi akan datang pengurus dana Malaysia dan memperluaskan kehadiran pengasas yang berkualiti. Sehubungan itu, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kumpulan pengurus dana berkaliber tinggi ini, sambil terus menarik modal, bakat, kepakaran dan keupayaan ke dalam ekosistem ini. Dalam memperkukuhkan ekosistem ini, kami mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan rakan kongsi dan pelabur yang memegang matlamat sepadan.”

    Secara keseluruhan, pemilihan firma-firma rakan kongsi di bawah EMP dan RMI ini sejajar dengan aspirasi jangka panjang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024–2030. Pelan ini menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab modal teroka pilihan di rantau ini menjelang tahun 2030. Pelantikan kumpulan pertama ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan komitmen RM1 bilion di bawah inisiatif Ekonomi MADANI untuk menyokong usahawan berpotensi tinggi serta menggalakkan penyertaan lebih besar modal institusi dalam pembiayaan peringkat awal.

    -TAMAT-

Siaran Akhbar Lain

Jelawang Capital Umum Pemilihan Pengurus Dana Pertama EMP dan RMI b...

Lima (5) firma VC dipilih di bawah EMP dan RMI untuk memperkasa keupayaan pengurus dana tempatan, membawa kepakaran global ke...

24 Jun 2025 Selanjutnya

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) Melaksanakan Gaji Ke...

Selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI untuk Menaikkan Siling dan Menaikkan Lantai bagi Meningkatkan Taraf Hidup, Kesejahteraan dan Produktiviti Pekerja...

1 Mei 2025 Selanjutnya

Khazanah dan INCJ Umum Urusniaga Strategik dalam EDOTCO Group

Khazanah dan Innovation Network Corporation of Japan (“INCJ”) mengumumkan bahawa Khazanah akan memperoleh pegangan INCJ dalam Kumpulan EDOTCO, mencerminkan hubungan...

14 Mac 2025 Selanjutnya