Khazanah Graduate Trainee Programmes (KGTP)

Di Khazanah Nasional Berhad, matlamat kami adalah untuk membangunkan generasi pemimpin baharu negara melalui KGTP. Para pelatih akan diberikan cabaran dalam suasana yang dinamik, penuh persaingan dan sentiasa bergerak pantas. Para pelatih juga akan didedahkan kepada pelbagai sektor dan bidang, menjanjikan sebuah kerjaya yang bukan sahaja mencabar tetapi lebih bermakna.

Program Latihan Siswazah – Pelaburan (GTP-I)

Anda berpeluang untuk terlibat dalam perniagaan utama Khazanah dengan menyertai bahagian Pelaburan, yang mana anda akan menjalani program intensif selama 12 bulan untuk mempersiapkan diri anda menjadi seorang penganalisis Pelaburan. Kami mencari individu yang memiliki sifat ingin tahu secara intelektual serta mempunyai semangat berpasukan dan berminat untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang kewangan, analitik dan pemikiran strategik. Anda akan menerima pendedahan dalam pembangunan dan pelaksanaan strategi pelaburan dalam pelbagai kelas dan sektor aset, serta inisiatif penciptaan nilai untuk syarikat portfolio kami.

Program Pelatih Graduan – Khazanah (GTP-K)

GTP-K adalah program bertempoh 12 bulan yang direka untuk membangunkan bakat dalam bidang pengkhususan yang dipilih seperti Digital & Teknologi; Tadbir Urus, Risiko & Pematuhan; Perundangan; Penyelidikan; Modal Insan Strategik dan Strategi. Program ini menerima siswazah dalam pelbagai bidang, yang berminat dan memiliki kemahiran dalam tugasan yang melibatkan penyelesaian masalah, pengendalian nombor serta berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Bidang Pengkhususan
Tadbir Urus, Risiko & Pematuhan
Sertai pasukan yang menyokong objektif korporat kami dan bantu meningkatkan prestasi perniagaan melalui penilaian strategik bagi risiko perusahaan, amalan tadbir urus korporat yang berkesan serta komitmen jitu terhadap pematuhan peraturan.
Perundangan
Sertai pasukan yang menyediakan perkhidmatan perundangan kepada unit-unit perniagaan di Khazanah, yang memberikan penyelesaian yang berkesan dan praktikal bagi memenuhi pelbagai keperluan pihak berkepentingan yang kompleks, pengurusan serta pelbagai unit perniagaan lain dalam organisasi ini.
Penyelidikan
Sertai kami dalam usaha untuk membolehkan dan mempromosikan pengetahuan dalam makroekonomi, pasaran modal, sektor ekonomi, strategi perniagaan dan korporat, serta pelaburan strategik untuk memperkukuhkan kelebihan saingan Khazanah bagi membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Pengurusan Modal Insan Strategik
Bina kerjaya dengan pasukan yang bertanggungjawab untuk membentuk strategi warga Khazanah dengan memastikan perancangan tenaga kerja, pengurusan dan pembangunan bakat ke arah mewujudkan budaya berprestasi tinggi.
Strategi
Timba pengalaman dengan pasukan yang bertanggungjawab untuk menetapkan objektif strategik jangka panjang dan arah tuju Khazanah. Kami bekerjasama rapat dengan pasukan kepemimpinan kanan dan seluruh organisasi untuk memastikan penyelarasan dan pencapaian mandat kami, iaitu untuk membangunkan kekayaan jangka panjang negara.
Proses Pemilihan
Siapa Yang Kami Cari?

Kami mencari calon-calon berkaliber dan bermotivasi tinggi bagi Program Latihan Siswazah kami.

  • Graduan baru dengan minimum Purata Gred Nilai Kumulatif (CGPA) 3.5 / Kepujian Kelas Kedua Atas / Purata Peratusan Markah (WAM) 75% dan atas
  • Mempunyai kemahiran berkomunikasi yang cemerlang;
  • Merupakan pemimpin di sekolah/kelab universiti;
  • Berpencapaian tinggi dan mempunyai semangat berpasukan; dan
  • Mempunyai dorongan yang tinggi dan komited untuk memberikan sumbangan ke arah kemajuan Malaysia.