English

Portfolio Syarikat

Pada masa ini, Khazanah Nasional mempunyai pegangan di syarikat-syarikat yang terlibat di dalam pelbagai sektor.

Bahan Asas

CIMA (Cement Industries of Malaysia Bhd)

CIMA, sebuah anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad, merupakan pengeluar simen ketiga terbesar di Malaysia dan menguasai kira-kira 18% pegangan pasaran simen di Malaysia.

CIMA yang telah terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran simen dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya sejak 1975 turut mempunyai kehadiran di beberapa pasaran antarabangsa khususnya di Singapura, Indonesia dan Timur Tengah.

www.cima.com.my

Kumpulan Institusi Kewangan

ACR Capital Holdings Pte Ltd

ACR Capital Holdings Pte Ltd telah diperbadankan pada November 2006. Ia merupakan anak syarikat milik penuh Asia Capital Reinsurance Group Pte Ltd ("ACR"). ACR Capital Holdings menyediakan untuk para pelanggannya penyelesaian berkaitan insurans semula bagi bidang operasi perniagaan yang berisiko tinggi dan terkhusus di seluruh rantau Asia. Beribupejabat di Singapura, ACR turut mempunyai pejabat perwakilan di Hong Kong, India, Taiwan, Jepun, Malaysia, Bahrain dan Dubai.

Diberi penarafan "A-" berdasarkan kepada kedudukan kewangannya yang kukuh oleh A.M. Best and Standard & Poor's, ACR memiliki kombinasi kupayaan yang tinggi, kemahiran penajajaminan peringkat global serta ilmu yang mendalam tentang pasaran insurans di rantau Asia. Bersama syarikat-syarikat sekutunya, Asia Capital Reinsurance Malaysia, ACR ReTakaful MEA dan ACR ReTakaful SEA, ACR memiliki rangkaian yang kukuh di rantau Asia serta dana pemegang saham secara beragregat berjumlah US$1 bilion. Ketiga-tiga syarikat sekutunya turut diberi penarafan "A- (Cemerlang)" daripada A.M. Best.

www.asiacapitalre.com.my

Bank Muamalat (Bank Muamalat Malaysia Bhd)

Bank Muamalat Malaysia Berhad, iaitu bank Islam kedua yang telah beroperasi sepenuhnya dan ditubuhkan di Malaysia selepas Bank Islam Malaysia Berhad, bersedia untuk memainkan peranannya dalam menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan secara Islam kepada rakyat Malaysia tanpa mengambil kira bangsa atau agama. Ini pasti akan menyumbang kepada pembangunan Malaysia moden.

www.muamalat.com.my

CIMB Bank

Tersenarai Awam

Kumpulan CIMB merupakan penyedia perkhidmatan kewangan yang kedua besarnya di Malaysia dan disenaraikan di Bursa Malaysia melalui Bumiputra-Commerce Holdings Berhad (BCHB). Kumpulan CIMB mempunyai sejarah sebagai bank pelaburan yang ulung dan juga bank pengguna yang mempunyai rangkaian tempatan yang terbesar. Usaha perkembangannya yang strategik berdasarkan perkhidmatan pembankan pelanggan Kumpulan ini, telah berjaya meningkatkan pegangan pasaran dan seterusnya menjadikan ia salah sebuah bank universal yang terulung di rantau ini.

Kumpulan CIMB berhubung dengan para pelanggannya melalui 3 jenama entiti – CIMB (bank pelaburan), CIMB Bank (bank pengguna) dan CIMB Islamic (sebuah bank yang komprehensif, yang berseriringan dengan bank-bank yang lain di dalam Kumpurlan). Selain daripada itu, kunci kekuatan Kumpulan ini juga adalah Pembankan Persendirian dan juga Pengurusan Aset.

www.cimb.com.my

Valuecap (Valuecap Sdn Bhd)

Pada 2002, Valuecap, sebuah syarikat pengurusan dana, telah ditubuhkan untuk melabur secara khusus dalam pasaran ekuiti Malaysia. Syarikat ini adalah kepunyaan bersama Khazanah, PNB dan KWAP, dan mandat utamanya adalah untuk menguruskan pelaburan ekuiti yang tersenarai dalam Bursa Malaysia secara portfolio berdasarkan kajian asas pelaburan yang utama.

Jagaan Kesihatan

Apollo (Apollo Hospitals Enterprise Ltd)

Tersenarai Awam

Apollo ialah kumpulan hospital swasta India yang terbesar. Apollo tersenarai dalam bursa saham di India, Madras dan Mumbai. Apollo memiliki dan/atau menguruskan rangkaian 37 hospital di India dan turut memiliki rangkaian hospital di Sri Lanka, Bangladesh, UAE, Nepal, Ghana, Nigeria, United Kingdom dan Kerajaan Arab Saudi. Ia merupakan syarikat penjagaan kesihatan bersepadu yang beroperasi dengan lebih daripada 180 kedai farmaseutikal, lebih daripada 50 klinik, tujuh kolej kejururawatan, mengambil bahagian dalam segmen perubatan BPO, dan merupakan pentadbir pihak ketiga yang terbesar di India. Apollo ditubuhkan pada 1983 oleh Dr. Prathap C. Reddy, seorang pakar kardiologi yang bermastautin di Amerika.

www.apollohospitals.com

Pantai Holdings

Pantai Holdings Berhad (Pantai) merupakan kumpulan jagaan kesihatan terkemuka di Malaysia yang kini memiliki rangkaian hospital berjumlah sebelas (11) buah di seluruh negara. Hospital-hospital di bawah naungan Hospital Pantai terletak di kawasan yang strategik seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor. Secara keseluruhan, Kumpulan Hospital Pantai mempunyai lebih daripada 1,500 buah katil dan mencatatkan lebih daripada 100,000 pendaftaran kemasukan setiap tahun. Kumpulan ini diterajui sekumpulan pakar klinikal yang merangkumi lebih daripada 650 doktor dan lebih daripada 1,500 jururawat.

Pantai turut menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan termasuk kemudahan makmal dan radiologi serta perkhidmatan rehabilitasi. Kolej Kejururawatan dan Kesihatan kendalian Pantai melatih lebih daripada 600 jururawat melalui program jangka masa tiga tahun.

Pantai adalah sebahagian daripada Parkway Holdings Limited, subsidiari milik penuh Khazanah Nasional Berhad.

www.pantai.com.my

Pharmaniaga (Pharmaniaga Bhd)

Tersenarai Awam

Pharmaniaga ialah syarikat penjagaan kesihatan tempatan yang terbesar di Malaysia. Syarikat ini menjalankan perniagaan terasnya, iaitu pembuatan farmaseutikal generik serta penyelidikan dan pembangunan, penggudangan dan pengagihan produk farmaseutikal serta perubatan, jualan dan pemasaran serta membekalkan kelengkapan hospital. Pharmaniaga juga telah mewujudkan peluang pasaran dalam penyelesaian penjagaan kesihatan IT yang menjadi tulang belakang operasinya.

www.pharmaniaga.com

Universiti Perubatan Antarabangsa

Universiti Perubatan Antarabangsa merupakan universiti perubatan swasta terunggul di Malaysia yang menawarkan pendidikan berkaitan perubatan yang berkualiti tinggi di dalam negara. Universiti ini kini mempunyai lebih daripada 1,800 pelajar di dalam program ijazah Perubatan, Farmasi dan Kejururawatan, dan juga program lepasan ijazah dalam Sains Perubatan dan Kesihatan Masyarakat melalui penyelidikan. Universiti ini mempunyai usaha sama dengan 25 Universiti Perubatan yang membolehkan pelajar memperoleh ijazah Perubatan daripada beberapa sekolah perubatan yang terkemuka di Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

www.imu.edu.my

Prasarana & Pembinaan

PLUS Expressways (PLUS Expressways Bhd)

Tersenarai Awam

PLUS Expressways Berhad merupakan sebuah syarikat milik UEM Group Berhad yang terlibat dalam pegangan pelaburan dan penyediaan perkhidmatan operasi lebuh raya di Malaysia dan di luar negara. Tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad sejak 17 Julai 2002, PLUS merupakan syarikat lebuh raya bertol terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di dunia berdasarkan permodalan pasaran.

Dibantu oleh prestasi kewangan yang kukuh dan mapan, pendanaan yang kukuh serta pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam oeprasi dan penyelenggaraan lebuh raya, PLUS Expressways membayangkan untuk menjadi kumpulan pengusaha lebuh raya terulung dunia.

www.plus.com.my

UEM Group Berhad

UEM Group Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, merupakan sebuah konglomerat kejuruteraan dengan empat bahagian perniagaan teras – Lebuh raya; Bandar & Pembangunan Hartanah; Kejuruteraan & Pembinaan; dan Pengurusan Aset & Kemudahan.

UEM Group yang memiliki aset berjumlah USD9 bilion dan dana pemegang saham melebihi USD2.4 bilion sehingga Disember 2009 terlibat dalam pelbagai projek infrastruktur dan pengangkutan yang ikonik di dalam dan luar negara.

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, UEM Group turut mempunyai kehadiran di lebih daripada 20 buah negara termasuk Brunei, Indonesia, India, Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom, Timur Tengah dan Afrika Utara.

Selari dengan peranannya sebagai rakan pembangunan negara, UEM Group telah dan akan terus memberi sumbangan yang nyata untuk pembangunan modal insan, intelektual dan alam sekitar serta masyarakat tempatan.

www.uem.com.my

UEM Builders

Tersenarai Awam

UEM Builders Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad merupakan salah sebuah syarikat utama dalam industri pembinaan dengan portfolio perniagaan yang pelbagai termasuk perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan, pengurusan infrastruktur dan konsesi tol. Kepakaran UEM Builders terletak pada rekaan dan pelan, serta membina dan mengurus kerja-kerja kejuruteraan sivil, mekanikal dan elektrikal bagi projek-projek infrastruktur dan pengangkutan berskala besar di Malaysia dan di luar negara.

UEM Builders mempunyai rekod pencapaian yang terbukti cemerlang dalam beberapa projek pembangunan Pengangkutan & Infrastruktur utama serta projek berkaitan Bangunan & Kemudahan yang merangkumi lebuh raya, jambatan, transit bandar, rel, lapangan terbang, stadium, institusi, komersial, penjagaan kesihatan, pembangunan perumahan dan sebagainya.

UEM Builders telah memainkan peranan yang signifikan dalam membangunkan lanskap Malaysia melalui pembinaan infrastruktur negara. Syarikat ini mempunyai kehadiran di Abu Dhabi, Arab Saudi, Qatar, India, Brunei, Indonesia dan Singapura.

www.uembuilders.com

Opus Group Berhad

Opus Group Berhad, sebuah anak syarikat UEM Group Berhad, merupakan salah sebuah syarikat runding cara multinasional tersohor di dunia dan rakan dalam pembangunan dan penyelenggaraan aset berkaitan sektor pengangkutan, infrstruktur dan alam sekitar.

Melalui kehadiran global melebihi 80 pejabat di Malaysia, New Zealand, Australia, United Kingdom, Kanada dan India, Opus bekerja dengan pelanggannya untuk membangun dan menguruskan aset termasuk lebuh raya antara bandar dan dalam bandar, sistem rel dan transit, maritim dan lapangan terbang, jejambat dan hubungan jambatan strategik serta kemudahan penjagaan kesihatan.

www.opusbhd.com

Media & Komunikasi

Astro (Astro All Asia Networks plc)

Tersenarai Awam

ASTRO ALL ASIA NETWORKS plc (ASTRO) ASTRO ALL ASIA NETWORKS plc (ASTRO) adalah kumpulan multimedia di Malaysia dengan perkhidmatan TV langganan pelbagai saluran satelit DTH yang mantap, siaran radio, penghasilan dan pengagihan filem serta program televisyen, pengurusan bakat dan operasi penerbitan majalah.

ASTRO juga mengadakan usaha sama dengan negara lain untuk melancarkan perkhidmatan baru bagi penyiaran, multimedia dan internet. Kumpulan ini turut mempunyai gabungan strategik dengan pembangun perisian dan penyedia kandungan yang utama untuk bersama-sama membangunkan teknologi dan kandungan bagi menyediakan penghantaran satelit, jalur lebar, multimedia tertingkat IP dan perkhidmatan interaktif melalui pelbagai platform merentasi kawasan Asia Pasifik.

www.astroplc.com

Telekom (Telekom Malaysia Bhd)

Tersenarai Awam

TM merupakan syarikat telekomunikasi bersepadu terbesar negara yang mempelopori serta menguasai bidang talian tetap suara serta data dan jalur lebar. TM pada hari ini telah berkembang menjadi salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Asia.

www.tm.com.my

Axiata Group Berhad (dahulunya dikenali sebagai TM International)

Tersenarai Awam

Axiata Group Berhad merupakan syarikat telekomunikasi mudah alih yang kian menyerlah di Asia. Kumpulan Axiata merupakan salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di rantau ini dan menawarkan pelbagai perkhidmatan komunikasi mudah alih kepada lebih 89 juta pelanggan. Kumpulan Axiata kini menguasai pegangan operasi komunikasi mudah alih di Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja selain daripada pegangan strategik di India, Singapura, Iran, Pakistan dan Thailand melalui beberapa buah anak syarikat dan syarikat bersekutu.

www.axiata.com

Time dotCom (Time dotCom Bhd)

Tersenarai Awam

TIME dotCom ialah penyedia telekomunikasi utama di negara ini. Dengan rangkaian optik gentian yang luas, ditambah pula dengan talian tetap yang juga luas, jalur lebar, telefon berbayar dan rangkaian perkhidmatan Internet menjadikan TIME sebagai operator utama dalam memenuhi keperluan telekomunikasi Malaysia. Teknologi baru telah menggabungkan teknologi suara, data dan multimedia, TIME dotCom bersedia untuk memanfaatkan sinergi pelbagai produk dan perkhidmatan dalam Kumpulan untuk menyediakan pakej dan menawarkan penyelesaian inovatif dan efisien kepada pelanggannya pada harga yang paling kompetitif.

www.time.com.my

Lain-lain

UEM Land (UEM Land Holdings Berhad)

Tersenarai Awam

UEM Land Holdings Berhad, syarikat pelaburan dan pembangunan hartanah utama milik UEM Group Berhad telah diperbadankan pada 20 Ogos 2008 dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 18 November 2008.

Syarikat ini adalah Pemaju Utama dan pemilik tanah utama Nusajaya, sebuah kawasan pembangunan yang berkeluasan 23,000 ekar dan salah sebuah zon utama di Iskandar Malaysia di Johor.

www.uemland.com

Faber (Faber Group Bhd)

Tersenarai Awam

Faber Group Berhad (“Faber”) merupakan sebuah syarikat milik UEM Group Berhad yang tersenarai di bawah Sektor Perdagangan/ Perkhidmatan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Bermula sebagai sebuah syarikat yang berurusan dalam bidang hospitaliti lebih 40 tahun dahulu, setelah melalui proses penstrukturan semula dan pelaksanaan beberapa inisiatif strategik, Faber kini menjadi salah sebuah syarikat terulung dalam sektor Pengurusan Kemudahan Berintegrasi (“IFM”) dan Pembangunan Hartanah.

Pada hari ini, Faber merupakan salah sebuah syarikat terbesar di dunia yang menyediakan perkhidmatan IFM bagi Perkhidmatan Sokongan Hospital yang termasuk perkhidmatan Kejuruteraan Penyelenggaraan Kemudahan, Kejuruteraan Penyelenggaraan Bioperubatan, Perkhidmatan Pembersihan, Perkhidmatan Linen dan Dobi dan Perkhidmatan Pengurusan Bahan Buangan Klinikal. Faber turut menyediakan perkhidmatan IFM di luar negara dan telah membangunkan kemampuannya dengan menyediakan perkhidmatan IFM yang diselenggara secara professional untuk memanjangkan tempoh fungsi, kebolehpercayaan dan keberkesanan aset.

www.fabergroup.com.my

Hartanah

Putrajaya Holdings (Putrajaya Holdings Sdn Bhd)

Putrajaya Holdings merupakan pemaju utama Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Diperbadankan pada Oktober 1995, projek penting Putrajaya Holdings termasuklah Dataran Putra, Masjid Putra, Jambatan Putra, Tasik Putrajaya dan Wetlands.

www.pjh.com.my

STLR (STLR Sdn Bhd)

STLR ialah syarikat pemegangan pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah. STLR mempunyai beberapa aset penting yang kebanyakannya terletak di sekitar Kuala Lumpur. Sebahagian besarnya adalah untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan penyewaan. Antara aset pentingnya ialah Wisma Time di Kuala Lumpur dan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Iskandar Investments (Iskandar Investment Berhad)

Iskandar Investment Berhad (dahulu dikenali sebagai South Johor Investment Corporation Berhad) merupakan syarikat pegangan pelaburan yang mempromosi serta menyelaraskan usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Tumpuan Iskandar Investment adalah pada pelaburan dalam inisiatif yang bersifat strategik dan pemangkin kepada pertumbuhan melalui pegangan dalam usaha sama atau penyediaan tanah sama ada melalui penjualan, sewaan atau pemberian hak konsesi atau pembangunan. Misi Iskandar Investment adalah untuk memberi nilai yang berkekalan dalam usahanya membangunkan Iskandar Malaysia menjadi wilayah pembangunan ekonomi yang kukuh dan bertaraf antarabangsa.

www.iskandarinvestment.com

Teknologi and Bio-Teknologi

Atlantic Quantum Sdn Bhd

Atlantic Quantum ialah sebuah syarikat pelaburan teknologi yang tumpuan utamanya adalah pelaburan ekuiti bagi syarikat yang berada di peringkat awal/berkembang, khususnya dalam bidang Rekaan Litar Bersepadu. Selain pulangan kewangan, pelaburan juga dibuat berdasarkan hubungan strategik dengan SilTerra (sebuah lagi syarikat portfolio Khazanah).

MTDC (Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd)

MTDC merupakan syarikat modal usaha niaga bersepadu Kerajaan Malaysia yang tumpuan utamanya adalah untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan universiti dan institusi penyelidikan, mengenal pasti dan memindahkan teknologi baru dan strategik untuk diguna pakai oleh industri, dan menggalakkan perkembangan perusahaan berasaskan teknologi di Malaysia.

Untuk memudahkan operasinya, MTDC berfungsi sebagai syarikat modal usaha niaga bersepadu yang peranannya adalah untuk mengenal pasti, membiayai dan membangunkan syarikat yang berpotensi dan juga bidang teknologi strategik.

mtdc.com.my

Silterra Malaysia (Silterra Malaysia Sdn Bhd)

Silterra yang terletak di Kulim Hi-Tech Park mengendalikan loji pembikinan wafer yang terpenting di Malaysia yang mematuhi syarat ketat proses 0.13µm. Ia turut menggabungkan konsep reka bentuk persekitaran mini dan menggunakan 100% peralatan fotolitografi gerak-dan-imbas (step-and-scan) bagi memastikan pengeluaran dan kualiti adalah tinggi. Silterra kini menghasilkan wafer dengan proses CL250 (0.25µm), CL220 (0.22µm) dan CL180 (0.18µm). Proses 0.13µm kini semakin hampir dengan perancangan teknologi mereka.

www.silterra.com

Pengangkutan & Logistik

Penerbangan Malaysia Bhd

PMB diwujudkan secara khusus hasil daripada penstrukturan semula kewangan Widespread Asset Unbundling (WAU) bagi MAS pada 2002. Ia mempunyai tiga segmen perniagaan yang jelas – penyewaan kapal terbang, perniagaan penerbangan domestik dan pemilikan saham MAS. PMB ialah syarikat pemegangan untuk MAS, dengan kepentingan 69.3% dalam syarikat penerbangan nasional. Penstrukturan semula WAU termasuklah PMB membeli daripada, dan menyewa semula kepada MAS sebahagian besar daripada kapal terbangnya. PMB turut mengambil alih perniagaan penerbangan domestik daripada MAS. Dengan ini, MAS telah berubah menjadi syarikat penerbangan “maya” yang terlibat dengan perkhidmatan penumpang antarabangsa dan perkhidmatan kargo.

www.pmb.com.my

MAS (Malaysian Airline System Bhd)

Tersenarai Awam

MAS, syarikat penerbangan nasional, memulakan perkhidmatannya pada 1947 dengan hanya satu Air Consul yang mempunyai enjin berkembar dan lima tempat penumpang. Kini, Malaysia Airlines merupakan syarikat penerbangan yang telah memenangi anugerah, memiliki lebih daripada 100 buah kapal terbang, dan melebarkan sayapnya merentasi enam benua serta memberikan perkhidmatan di lebih daripada 100 destinasi berbeza.

www.malaysiaairlines.com

Malaysia Airports (Malaysia Airports Holdings Bhd)

Tersenarai Awam

Malaysia Airports Holdings Berhad ialah pengendali dan pengurus kepada 38 buah lapangan terbang di Malaysia, termasuk sebuah lapangan terbang yang mempunyai teknologi tercanggih di dunia, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. MAHB juga merupakan syarikat lapangan terbang pertama yang disenaraikan di Asia dan salah satu daripada tujuh syarikat lapangan terbang di dunia yang tersenarai.

www.malaysiaairports.com.my

Kemudahan Awam

Projek Air dan Tenaga Milik Sendiri Shuaibah Fasa 3

Projek ATMS Shuaibah Fasa 3 (“Projek”) akan membekalkan 880,000 meter padu air setiap hari dan 900 megawatt tenaga ke Makkah, Jeddah, Al-Taif dan Al-Baha dan dijangka memulakan operasi secara komersil pada 2009. Projek ini akan dibangunkan dengan belanja sebanyak SR 9.1 bilion (lebih kurang US$ 2.5 bilion) berdasarkan ”Bina Sendiri dan Kendalikan“ (Build Own and Operate) dan akan ditempatkan bersebelahan kompleks penjanaan dan penyahgaraman yang ada sekarang yang terletak 110 km ke selatan Jeddah, di pantai barat Arab Saudi.

Ini akan menjadi Projek Air dan Tenaga Milik Sendiri pertama dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan melambangkan kemajuan penting sektor perairan dan tenaga negara, Jadual projek menunjukkan Pembinaan Loji akan bermula sekitar Januari 2006 dan Tarikh Operasi Komersil Projek dijadualkan pada Januari 2009.

Tenaga Nasional (Tenaga Nasional Bhd)

Tersenarai Awam

TNB ialah syarikat utiliti elektrik terbesar di Malaysia dengan aset bernilai RM60.0 bilion dan memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 6 juta pelanggan di seluruh Malaysia. Aktiviti utama TNB adalah dalam penjanaan, pemancaran dan pengagihan elektrik.

Sehingga hari ini, TNB kekal sebagai penyedia utama dalam sektor penjanaan elektrik yang membentuk bahagian penting dalam pelbagai aktiviti perniagaan Kumpulan. Kumpulan TNB mempunyai keupayaan penjanaan terbesar sebanyak 10,481 MW.

www.tnb.com.my