English

Kepimpinan

Khazanah Nasional mempunyai sembilan orang ahli Lembaga Pengarah yang mewakili sektor awam dan sektor swasta. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah. Lembaga Pengarah ini menjalankan tanggungjawabnya dengan dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Audit yang dilantik oleh Lembaga Pengarah. Pihak Pengurusan diketuai oleh Tan Sri Dato' Azman bin Hj Mokhtar yang bertindak sebagai Pengarah Urusan.

Lembaga Pengarah

Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak

Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak

Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional pada 17 September 2008. Beliau kini merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dato’ Sri Mohd Najib memulakan kerjaya di bank pusat, Bank Negara Malaysia sebelum meneruskan kerjaya di syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Kerjaya politik beliau bermula pada 1976 apabila beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen kawasan Pekan. Berumur 22 tahun ketika itu, beliau merupakan Ahli Parlimen termuda di Malaysia. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kabinet sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi & Pos, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Beliau turut mengetuai beberapa kementerian sebagai Menteri di Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan. Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Pahang daripada 1982 hingga 1986.

Dato’ Sri Mohd Najib memiliki ijazah Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham University.

Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcop

Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcop

Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 12 November 2002. Beliau kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Kedua sehingga 9 April 2009 dan Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri.

Kecuali tempoh seketika yang beliau berkhidmat dalam sektor swasta pada lewat 1990an, Tan Sri Dato' Seri Nor Mohamed Yakcop telah berkhidmat di Bank Negara dari 1968 hingga 2000. Semasa berkhidmat di Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop bertanggungjawab dalam pelaksanaan beberapa projek penting, termasuklah pelaksanaan perbankan Islam di Malaysia, memperkenalkan mekanisme pembayaran dua-hala antara Bank Negara Malaysia dengan Bank Pusat Negara Selatan-Selatan dan penubuhan Rating Agency Malaysia Berhad.

Sebagai Penasihat Khas Ekonomi Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula beberapa syarikat korporat, termasuklah United Engineers ( Malaysia) Berhad dan MAS.

Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop merupakan graduan dari Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dan M.B.A. (cum laude) dari Catholic University of Leuven, Belgium.

Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah telah dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 18 Mei 2009. Beliau kini merupakan Menteri Kewangan Kedua.

Dato’ Seri Ahmad Husni telah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Malaysia sejak 2004 iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan seterusnya Timbalan Menteri Kewangan 1.

Dato’ Seri Ahmad Husni mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor korporat setelah berkhidmat dengan beberapa institusi kewangan iaitu Bumiputra Merchant Bankers Berhad, Asiavest Merchant Bankers dan Chase Manhattan Bank N.A. Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa agensi berkaitan Kerajaan iaitu Syarikat Majuperak Berhad dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Pengerusi di beberapa agensi dan syarikat terkemuka termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Bumiputra Commerce Bank Berhad, Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Parlimen Malaysia.

Dato’ Seri Ahmad Husni berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Tan Sri Md Nor Md Yusof

Tan Sri Md Nor Md Yusof

Tan Sri Md Nor Md Yusof dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 1 April, 2006 dan kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutifnya. Beliau turut menganggotai beberapa Lembaga syarikat dan institusi termasuk Malaysian Agrifood Corporation Bhd dan Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad.

Tan Sri Md Nor telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Bumiputera-Commerce Holdings Bhd pada 27 Jun 2006 dan seterusnya dilantik sebagai pengerusinya pada 31 Julai 2006. Beliau juga merupakan pengerusi Kumpulan CIMB. Tan Sri Md Nor telah menumpukan 18 tahun daripada tempoh kerjayanya bersama Kumpulan Commerce, dengan sumbangan beliau paling ketara sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Commerce Bhd (BOC). Tan Sri Md Nor telah menamatkan tempoh khidmatnya sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti pada 31 Mac 2006. Sebelum menyandang jawatan tersebut, beliau merupakan Pengarah Urusan Malaysian Airline System Bhd, dan sebelum itu beliau merupakan Penasihat Kementerian Kewangan.

Tan Sri Md Nor adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Otago, New Zealand dan merupakan seorang akauntan bertauliah.

Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda

Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda

Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 1 April 2006. Beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Eksekutif dan Rakan Niaga Kanan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia. Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda juga merupakan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7 dan ahli Pasukan Kepimpinan Global PwC. Beliau adalah ahli kepada Lembaga IFRS Global PwC dan merupakan ahli kepada Majlis Penasihat Piawaian bagi Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa.

Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda kini adalah Pengarah Sime Darby Bhd, ahli Panel Kajian Semula Percukaian dan Pro-Canselor Universiti Industri Selangor. Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda juga adalah Pengerusi, Yayasan Raja Muda Selangor.

Sepanjang perkhidmatan beliau, Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda pernah menyandang beberapa jawatan dalam sektor awam. Ketika ini beliau merupakan ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan ahli Majlis Penasihat Pasaran Modal. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Utara Malaysia.

Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Bin Raja Tun Uda adalah ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales dan juga ahli Institut Akauntan Malaysia. Beliau juga merupakan ahli kepada Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan telah menyumbang bakti kepada Majlisnya selama 24 tahun dan selama 3 tahun sebagai Presidennya.

Datuk Mohamed Azman bin Yahya

Datuk Mohamed Azman bin Yahya

Datuk Mohamed Azman bin Yahya telah dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 1 Jun 2004.  Dato’ Azman adalah Pengasas dan Ketua Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan sumber luar.  Beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Bolton Berhad.  Kedua-dua syarikat berkenaan tersenarai di Bursa Malaysia.

Semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997 – 1998, Dato' Mohamed Azman telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan serta menerajui Danaharta, syarikat pengurusan aset nasional.  Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia yang berperanan sebagai perantara dan membantu dalam program penstrukturan semula hutang syarikat berdaya maju sehingga penamatan jawatankuasa berkenaan pada 2002.  Dalam tempoh beliau berkhidmat di Danaharta antara tahun 1998 hingga 2003, Dato' Mohamed Azman telah menerima beberapa anugerah antarabangsa termasuk “Ahli Perbankan Paling Berpengaruh” (Most Influential Banker) di Asia oleh Institutional Investor dan “Ketua Agensi Penstrukturan Semula Terbaik” (Restructuring Agency Chief of the Year) oleh Asiamoney.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada anggota penasihat Panel Perunding Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sains Kebangsaan, Majlis Inovasi Kebangsaan dan juga salah seorang ahli Pasukan Petugas Khas bagi memudahkan perniagaan (PEMUDAH), iaitu sebuah usaha sama antara pihak swasta dan awam  untuk memperbaiki sistem serahan perkhidmatan awam.  Beliau juga adalah Pengarah Kelab Perniagaan Kuala Lumpur dan Pengerusi Suruhanjaya Sukan Bermotor Malaysia. 

Datuk Mohamed Azman memulakan kerjayanya dalam bidang pengauditan dengan KPMG di London sebelum kembali ke Malaysia pada 1988. Beliau kemudiannya membina kerjaya dalam bidang perbankan pelaburan sebagai Ketua Eksekutif di Amanah Merchant Bank.  Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian Kelas Pertama) daripada London School of Economics and Political Science di University of London.  Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales, ahli Persatuan Akauntan Malaysiadan juga Felo Institut Bank-bank Malaysia.

Dato' Mohammed Azlan bin Hashim

Dato' Mohammed Azlan bin Hashim

Dato’ Mohammed Azlan bin Hashim telah dilantik sebagai Pengarah Khazanah Nasional pada 1 Jun 2004. Dato' Mohammed Azlan juga merupakan Pengerusi D&O Ventures Berhad, SILK Holdings Berhad serta Pengarah Scomi Group Bhd.

Dato' Azlan memiliki pengalaman yang luas dalam sektor korporat termasuk perkhidmatan kewangan dan pelaburan. Antara lain, beliau pernah bertugas sebagai Ketua Eksekutif Bumiputra Merchant Bankers Berhad, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Capital Malaysia Berhad serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bursa Malaysia Berhad (dahulunya dikenali sebagai Kuala Lumpur Stock Exchange).

Dato' Azlan juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa organisasi Kerajaan dan Bukan-Kerajaan termasuk Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Beliau juga merupakan Pengerusi Universiti Darul Iman Malaysia sejak 2006.

Dato' Azlan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Monash) dan merupakan Akauntan Bertauliah (Australia). Beliau adalah Ahli Felo Institut Akauntan Bertauliah, Australia, Institut Akauntan Malaysia, Institut Pengarah Malaysia, Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah serta Ahli Terhormat Institut Juru Audit Dalaman Malaysia.

Tan Sri Andrew Sheng

Tan Sri Andrew Sheng

Tan Sri Andrew Sheng telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional pada 22 Julai 2008. Beliau kini bertugas sebagai Ketua Penasihat di Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Pusat Kewangan Qatar dan Sime Darby Berhad.

Selain itu, beliau adalah ahli Majlis Penasihat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Panel Penasihat Antarabangsa Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA), Majlis Tertinggi Pusat Pendidikan Antarabangsa bagi Kewangan Islam (INCEIF) dan Majlis Penasihat Institut Kebangsaan bagi Pasaran Sekuriti India.

Belia kini juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaya dan Pusat Graduan Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Tsinghua, Beijing.

Antara jawatan yang pernah beliau sandang termasuk Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Niagaan ke Depan Hong Kong (Okt 1998 - Sep 2005), Timbalan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong (Okt 1993 – Sep 1998), Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Sektor Kewangan Bank Dunia (1989 – 1993), di samping beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia (1976 – 1989).

Beliau mendapat latihan sebagai Akauntan Bertauliah dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam Ekonomi dan Ijazaha Kehormat Kedoktoran dalam Undang-Undang daripada Universiti Bristol di United Kingdom.

Tan Sri Dato' Azman bin Hj. Mokhtar

Tan Sri Dato' Azman bin Hj. Mokhtar

Tan Sri Dato' Azman bin Hj. Mokhtar dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional pada Jun 2004.

Beliau adalah Pengarah dan Ketua Penyelidik Union Bank of Switzerland di Malaysia dari tahun 1994 hingga 1998 . Manakala di antara tahun 1998 hingga 2002, beliau merupakan Pengarah dan Ketua Penyelidik di Salomon Smith Barney di Malaysia. Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan di BinaFikir Sdn. Bhd dari tahun 2002 hingga Mei 2004.

Tan Sri Dato' Azman Mokhtar memperoleh Sarjana Falsafah dengan kepujian dalam bidang Pengajian Pembangunan dari Darwin College, Cambridge University, United Kingdom sebagai sarjana Chevening. Beliau merupakan Felo bagi Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom dan pemegang carter untuk Chartered Financial Analyst. Beliau juga memiliki diploma lanjutan dalam Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.