English

Penceramah

Stephen Roach - Pengerusi, Morgan Stanley Asia
“Looking Beyond the Crisis: Pitfalls in a Post-Bubble World”


Stephen S. Roach adalah Pengerusi Morgan Stanley Asia yang bertanggungjawab sebagai wakil kanan firma berkenaan kepada pelanggan, kerajaan serta pengawal selia di rantau ini. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Bahagian Ekonomi Morgan Stanley yang mana beliau mengetuai pasukan ahli ekonomi terkemuka firma berkenaan yang terletak di New York, London, Frankfurt, Paris, Tokyo, Hong Kong dan Singapura. Sepanjang kerjaya 25 tahun beliau sebagai ahli ekonomi di Morgan Stanley, beliau dikenali sebagai salah seorang ahli fikir yang paling berpengaruh di Wall Street. Kajian terbaru kendalian beliau menumpu kepada globalisasi, kebangkitan China dan India serta ketidakseimbangan global kepada dan implikasinya kepada pasaran modal. Pendapat beliau sering dipetik oleh media kewangan di samping media lain. Beliau juga banyak menyumbang hasil tulisan kepada ruangan pendapat editorial beberapa akhbar utama seluruh dunia. Beliau telah sekian lama memberi khidmat nasihat kepada beberapa buah kerajaan serta pembuat dasar seluruh dunia dan sering dipanggil untuk memberikan pandangan kepakaran beliau kepada Kongres Amerika Syarikat. Sebelum menyertai Morgan Stanley pada 1982, beliau merupakan Naib Presiden bagi Analisis Ekonomi, Morgan Guaranty Trust Company. Beliau juga pernah memegang jawatan kanan bahagian penyelidikan di Federal Reserve Board, Washington D.C. antara 1972-79. Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai felo penyelidikan di Brookings Institution, Washington D.C. Beliau berkelulusan Ph.D. dalam bidang ekonomi daripada New York University dan ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi daripada University of Wisconsin.

Dato’ Sri Abdul Wahid Omar - Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank
SESI 2: KEPIMPINAN & BUDAYA
“Managing in Turbulent Times”


Dato’ Sri Abdul Wahid bin Omar adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, kumpulan perbankan terbesar di Malaysia. Sebelum menyertai Maybank, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad sejak Julai 2004. Beliau juga merupakan bekas Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad dan UEM World Berhad selain pernah menjadi Timbalan Pengerusi Eksekutif PLUS Expressways Berhad. Pada 2001, beliau merupakan Ketua Pegawai Kewangan Telekom Malaysia Berhad. Beliau adalah Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (UK) dan Ahli Institut Akauntan Malaysia. Rekod prestasi beliau yang baik dalam pengurusan korporat dan kewangan bermula dalam sektor perbankan pada 1988 apabila beliau menyertai Jabatan Perbankan Korporat, Bumiputra Merchant Bankers Berhad. Beliau kemudiannya menyandang jawatan kanan dalam pengurusan sebagai Pengarah Perkhidmatan Korporat Kumpulan serta Pengarah Bahagian, Pasaran Modal dan Sekuriti, Amanah Capital Partners Berhad. Beliau turut pernah menjawat jawatan Pengerusi di Amanah Short Deposits Berhad dan Persatuan Rumah Diskaun Malaysia. Dato’ Sri Abdul Wahid juga pernah menjadi Pengarah Amanah Merchant Bank Berhad. Di Maybank, Dato’ Sri Abdul Wahid memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat bawah Kumpulan Maybank termasuk Mayban Fortis Holdings Berhad dan Aseambankers Malaysia Berhad.

Dato’ Sri Idris Jala – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airlines (MAS)
SESI 2: KEPIMPINAN & BUDAYA
“Managing in Turbulent Times”


Dato’ Sri Idris Jala telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airlines pada Disember 2005 akibat daripada kerugian terbesar dalam sejarah yang dialami oleh syarikat penerbangan negara itu. Pada Februari 2006, beliau telah mengumumkan Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP 1). Daripada kerugian bagi tempoh sembilan bulan berjumlah USD400 juta pada 2005, beliau berjaya memulihkan syarikat berkenaan dalam tempoh dua tahun dengan mencatatkan keuntungan tertingginya berjumlah USD260 juta pada 2007. Bertitik tolak daripada BTP 1, beliau mengumumkan Pelan Pemulihan Perniagaan 5 tahun (BTP 2) MAS pada Januari 2008. BTP 2 menetapkan sasaran keuntungan antara USD630-USD950 juta setahun menjelang 2012. Bawah BTP 2, Malaysia Airlines menyasarkan untuk mencapai sasaran keuntungannya dengan mentransformasikan syarikat berkenaan menjadi Syarikat Penerbangan Lima Bintang Terbaik Dunia sambil menawarkan produk serta perkhidmatan bertaraf Lima Bintang pada harga yang berpatutan. Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Dato’ Sri Idris pernah berkhidmat selama 23 tahun di Shell. Antara 2002 dan 2005, beliau merupakan Pengarah Urusan, Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden, Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia). Beliau berjaya melaksanakan pemulihan perniagaan di Shell MDS, loji Gas-kepada-Cecair komersial pertama di dunia dan merupakan pembekal tunggal minyak diesel bersih untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi - Pengarah Eksekutif, Khazanah Research & Investment Strategy, Khazanah Nasional
SESI 4: FIRMA & TRANSFORMASI
“Putting It Together: What It Means for Firms”


Dr. Nungsari Ahmad Radhi menyertai Khazanah sebagai Pengarah Eksekutif, Khazanah Research and Investment Strategy pada Februari 2007. Selepas berkhidmat selama 10 tahun dalam bidang akademia, beliau meninggalkan Universiti Utara Malaysia sebagai Dekan Fakulti Ekonominya sebelum memenangi kerusi parlimen pada 1995. Selain daripada mewakili Parlimen Malaysia dalam beberapa organisasi antarabangsa, beliau juga pernah menjadi Pengarah Bank Pertanian Malaysia, Yayasan Pelajaran MARA dan Perpustakaan Negara. Sebelum menyertai Khazanah, beliau pernah berkhidmat seketika di Sime Darby Berhad dan sebelum itu pernah menjadi Pengarah Bersekutu Innovation Associates. Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang organisasi industri, teori permainan diaplikasi dan ekonomi awam. Beliau turut kerap menyumbang tulisan dalam akhbar The Edge dan antara buku terkini yang telah beliau sunting adalah Cabaran Terbaru Dalam Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar (2005), satu lagi subjek yang beliau minati. Beliau berkelulusan PhD daripada Krannert School of Management, Purdue University.

Iqbal Khan - Ketua Pegawai Eksekutif pengasas HSBC Amanah, CEO Fajr Capital
SESI 4: FIRMA & TRANSFORMASI
“Putting It Together: What It Means for Firms”


Iqbal Khan kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital Limited dan telah mengetuai pasukan Pengurusan syarikat tersebut sejak awal 2007. Beliau sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif pengasas HSBC Amanah, di mana beliau telah membangunkan perniagaan serta pasukannya selama lapan tahun, salah satu daripada bidang perniagaan yang paling berkembang maju dan berjaya dalam Kumpulan HSBC. Beliau pernah menganggotai Lembaga Pengarah HSBC Bank Middle East, The Saudi British Bank dan HSBC Investment Bank (Saudi Arabia). Beliau telah melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Group Holdings yang kini merupakan pengerusinya, Stephen Green. Beliau turut memainkan peranan dalam melancarkan institusi-institusi kewangan Islam tersohor termasuk Meezan Bank, Citi Islamic Investment Bank dan IDB Infrastructure Fund serta pernah bertanggungjawab menyelia pelbagai bidang perniagaan termasuk perbankan runcit, runding cara kewangan korporat, perbendaharaan dan pengurusan risiko, pengurusan harta, perbankan peribadi serta ekuiti persendirian. Beliau aktif dalam beberapa inisiatif dalam industri kewangan Islam melalui penglibatan beliau sebagai penasihat kepada kerajaan dalam bidang kewangan Islam di UK, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia. Beliau telah menerima beberapa penganugerahan termasuk anugerah khas daripada Euromoney pada 2006 untuk “Sumbangan Cemerlang dalam Kewangan Islam.”

Tan Sri Dato' Azman Hj. Mokhtar - Pengarah Urusan, Khazanah Nasional
Khazanah Megatrends Forum 2008 Summary
“Shifting Sands: Threats and Opportunities”