Khazanah Nasional dipertanggungjawabkan membangunkan industri strategik terpilih di Malaysia serta menyokong perkembangannya dengan objektif untuk memajukan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.
Khazanah diamanahkan untuk mengenal pasti peluang pelaburan strategik dalam sektor-sektor yang baru dan juga di kawasan geografi yang baru. Khazanah mempunyai matlamat untuk menguruskan portfolio pelaburan dalam usaha merealisasikan potensi jangka panjangnya, dan pada masa yang sama membuat pelaburan dalam apa jua bidang yang difikirkan berpotensi membawa pulangan komersil pada masa depan.
Pelaburan semasa Khazanah terdapat di dalam pelbagai industri, terutamanya kewangan, telekomunikasi, utiliti, perkhidmatan komunikasi, teknologi maklumat dan pengangkutan. Khazanah turut menceburi sektor lain yang berpotensi dengan wawasan untuk menerajui dan memajukan industri strategik.
Visi & Misi
Khazanah akan dianggap sebagai institusi pelaburan strategik utama di rantau ini yang memacu prestasi syarikat yang cekap dengan piawaian pencapaian yang tinggi dalam sektor yang dianggap strategik kepada ekonomi negara.
Khazanah komited untuk mewujudkan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global menggunakan Modal Insan yang sesuai dan mengamalkan etika kerja profesional. Khazanah berusaha memupuk tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi dengan matlamat meraih kepercayaan mereka yang berurusan dengan Khazanah.
Budaya Khazanah
Khazanah ingin membentuk satu warga kerja yang komited dan menjunjung cita-cita yang sama, iaitu membangunkan negara. Budaya ini mencorakkan Khazanah sebagai kumpulan individu-individu yang secara kolektif memperkayakan institusi ini dengan idea bernas, kepakaran dan kebolehan dari pelbagai bidang.